Menteri pendidikan baharu mesti ‘berani tak popular’, kata kumpulan ibu bapa

Gags Teacher
0
Inej hiasan


PETALING JAYA: Kerajaan baharu mesti melantik menteri pendidikan yang berani memperkenalkan dasar progresif bagi memperbaiki sistem pendidikan, sekalipun cadangannya “tidak popular”, kata sebuah kumpulan ibu bapa. 

Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) berkata, satu dasar bukan populis yang boleh diperkenalkan menteri pendidikan baharu adalah untuk mewajibkan pelajar memperoleh “C” (kredit) dalam bahasa Inggeris bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Pengerusi Magpie Mak Chee Kin berkata menteri berkenaan juga perlu berusaha mencetuskan minat lebih mendalam terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar, kerana isu itu telah lama dibangkitkan namun tidak diselesaikan mana-mana ahli politik. 

Mak memberitahu, menteri pendidikan yang bakal dilantik mesti “ikhlas” mahu membaiki sistem pendidikan. 

Katanya, kumpulannya telah lama menyokong supaya politik diasingkan daripada pendidikan, selain pembangunan pendidikan dilakukan dengan mampan. 

“Apa yang berlaku kini adalah menteri berubah apabila kerajaan berubah. Jadi apa saja dasar diperkenalkan seseorang menteri mungkin tidak berkekalan. 

“Lebih teruk lagi apabila ada dasar baik mungkin tidak diteruskan menteri baharu, semata-mata kerana menteri itu mahu popular,” katanya. 

Beliau memetik sebagai contoh, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad pada 2002 tetapi dimansuhkan kerajaan lain pada 2011. 

Bertujuan membaiki pemahaman Sains dan Matematik pelajar, dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakan bahan kajian dan penyelidikan saintifik menggunakan bahasa itu. 

Mak berkata, segelintir sekolah terpilih seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) masih menggunakan PPSMI, menyebabkannya menyoal kenapa ia dimansuhkan di tempat lain. 

“Jika tidak bagus, kenapa ia masih ditawarkan di MRSM?” soal beliau, dengan mendakwa keputusan memansuhkan PPSMI di kebanyakan sekolah lebih bersifat politik dan bukannya mengambil kira kepentingan pelajar. 

Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin yang merupakan menteri pendidikan dalam Jemaah Menteri sebelum ini selepas mengambil alih daripada Maszlee Malik susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020. 

Antara dasar yang dimansuhkan Radzi termasuk rancangan makanan percuma yang diperkenalkan Maszlee. 

Anuar Ahmad, pensyarah di fakulti pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, menteri pendidikan baharu mesti memastikan pelajar Malaysia setaraf rakan sebaya di rantau ini. 

Katanya, Malaysia berkemungkinan ketinggalan memandangkan Indonesia memperkenalkan sistem kurikulum fleksibel yang membolehkan pelajarnya memilih beberapa mata pelajaran. 

Tambahnya, menteri baharu juga wajar mempertimbangkan untuk memberikan lebih autonomi kepada guru dalam merancang sesi pengajaran, tetapi pada masa sama “mesra pelajar” dan peka dengan isu dihadapi mereka, khususnya dari masyarakat miskin dan terpencil.

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)
Demos Buy Now