Beri peluang pelaksanaan PBS di sekolah - Fadhlina Sidek

IBU BAPA diminta memberi peluang ke atas pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebelum meneliti keperluan mengembalikan semula peperiksaan (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). 


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sebelum ini sistem pendidikan negara dilihat terlalu tertumpu kepada peperiksaan dan bersifat ‘high stake’ yang memberi tekanan kepada pelajar dan guru. 

Beliau berkata, PBS bukan sahaja menilai pelajar berdasarkan pencapaian akademik tetapi juga termasuk mengembangkan potensi mereka. 

“Beri peluang PBS, dan mari kita lihat perkembangan anak-anak sehingga kitaran selesai. 

“Selepas itu, kita boleh melihat untuk memperkenalkan semula peperiksaan (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” katanya ketika hadir sebagai tetamu di program Ruang Bicara Bernama TV malam tadi. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat peperiksaan akhir dalam sistem PBS tetapi ia tidak setinggi UPSR atau PT3. 

“PBS sedia ada masih ada ujian akhir akademik namun bukan seperti UPSR atau PT3, tetapi perkara lain turut dinilai termasuk kemahiran lain seperti kemahiran sosial dan bakat murid,” katanya. 

PBS juga, kata beliau, memberi kebebasan atau autonomi kepada setiap sekolah untuk menguruskan peperiksaan berdasarkan keupayaan pelajar dan memberi ruang yang lebih luas kepada ibu bapa untuk membincangkan kemajuan anak mereka dengan guru. 

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, sebarang pelaksanaan atau perubahan kurikulum perlu melalui proses rundingan dengan pembabitan pemegang taruh seperti pakar pendidikan sebelum ia diputuskan. 

“Suka saya ingatkan kepada ibu bapa yang mengambil berat isu ini, saya fikir kita sudah pergi kepada satu dimensi baharu iaitu apabila kita perkenalkan PBS, ia sebenarnya memberikan banyak manfaat. 

Pada 24 Dis, Fadhlina dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan sebarang keputusan mengenai peperiksaan UPSR dan PT3 akan dibuat selepas pembentangan laporan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 yang akan ditetapkan dalam tempoh tiga tahun. – BERNAMA
Previous Post Next Post