KPM fokus kemiskinan murid, beban guru

Selepas seminggu bertemu dan berbincang bersama pihak berkepentingan dan rakan strategik, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan akan melaksanakan 7 inisatif penambahbaikan dari aspek proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan. 

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan memberi perhatian kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan. 

“Saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya. 

“….Dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan,” katanya yang memberitahu fokus ini adalah antara 7 teras utama yang akan diberi perhatian sepanjang beliau menjawat jawatan itu. 

Selain itu, KPM akan memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuklah dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran. 

Beliau katanya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar.  

Kementerian juga akan meneruskan dasar-dasar sedia ada dan pada masa sama menambah baik proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya. 

Dengan tema ‘murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera’, berikut merupakan 7 teras utama yang akan diberi perhatian oleh KPM. 

1. Menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus 

Oleh itu, bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid maka aduan, cadangan dan pertanyaan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan oleh KPM termasuklah Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat Pelanggan. Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan. 

2. memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti 

Kementerian Pendidikan yakin akan mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme. 

3. Memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuklah dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran 

Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar. 

4. Memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan. 

5. Memberi fokus kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan. 

Oleh itu saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan. 

6. memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk mengubahsuai dan menaik taraf sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak. 

7. Meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah. 

Kementerian akan membuat libat urus bersama dengan agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan bawah KPM. Saya akan mengarahkan KSU untuk melihat perkara ini. KPM akan mengemukakan cadangan yang bersesuaian untuk pertimbangan Jemaah Menteri 

Sementara itu, KPM memberi jaminan akan mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak seperti Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM), Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) serta pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan pandangan serta input bagi memastikan hasrat ini tercapai.
Previous Post Next Post