KPM tidak berkompromi isu buli

Kuala Lumpur: Kemeterian Pendidikan (KPM) mengambil maklum berkenaan isu buli dibangkitkan seorang pelajar melalui surat dikongsi dan dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman sosialnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM tidak akan berkompromi berkenaan hal itu dan berharap semua pihak dapat menyediakan suasana sifar perkauman di sekolah dan rumah. Katanya, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk murid dan saling hidup harmoni.

"Selain itu, guru juga diharap dapat memberikan contoh teladan terbaik dalam mempamerkan aspek kepemimpinan dan mencerminkan kasih kepada murid-murid.

"Dalam suasana iklim politik di media sosial, harus kita akui anak-anak antara yang akan paling mudah untuk menyerap segala maklumat yang diterima. 

"Justeru, jadikan cuti sekolah ini sebagai ruang untuk mewujudkan ekosistem harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain," katanya kepada BH, semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, meminta KPM menyiasat segera berkenaan isu buli dihadapi pelajar berkenaan.

Ini susulan satu gambar surat luahan pelajar dibuli diterima oleh Anwar yang mana pelajar itu meminta perkara berkenaan diberi perhatian.

Dalam surat berkenaan, pelajar itu menyatakan dia dibuli oleh beberapa pelajar lain, namun didakwa guru itu tidak me ngenakan sebarang tindakan, malah dilihat bersikap rasis. Justeru, pelajar itu memohon kepada Anwar untuk memastikan perkara ini tidak berlaku lagi.

Previous Post Next Post