NUTP bimbang Ujian Akhir Sesi Akademik tambah beban guru, murid

Presiden NUTP, Aminuddin Awang

Kuala Lumpur: Kesatua Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu isu pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang didakwa menambah beban guru, menjadi perkara utama yang perlu diselesaikan dengan segera oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Selain itu, NUTP juga mahu Fadhlina memberi perhatian pada isu peningkatan guru bersara awal akibat beban melampau, mewujudkan jawatan warden asrama sepenuh masa serta melaksanakan segera tiga inisiatif yang diumumkan kerajaan lalu.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata UASA menjadi kebimbangan utama guru ketika ini susulan taklimat mengenai pelaksanaannya, yang jelas menggandakan beban guru sehingga lebih teruk berbanding sebelum ini.

Pelaksanaan macam UPSR

Dalam taklimat itu, katanya, pihak guru terkejut dengan kaedah pelaksanaan UASA yang seakan-akan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun lebih membebankan kerana membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam di sekolah rendah.

"Dalam taklimat baru-baru ini, kita terkejut kerana UASA ini seolah-olah macam UPSR berdasarkan prosedurnya, antaranya jarak khusus meja murid, pemeriksaan kena dibuat secara semakan silang dengan guru lain dan sebagainya.

"Dulu ketika diumumkan pemansuhan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), guru ingat boleh tumpu pada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), tapi pelaksanaan UASA ini seolah-olah menunjukkan PBD itu tidak sah sehingga terpaksa buat UASA. 

"Pelaksanaan UASA ini sangat membebankan guru kerana ia membabitkan ramai murid kerana UPSR hanya babitkan murid Tahun Enam.

"Jika UASA dilaksanakan dengan cara begini, saya bimbang selepas ini murid Tahun Empat, Lima dan Enam pula akan dibebani dengan kelas tambahan, sekali gus kembali semula ke zaman lalu yang terlalu berorientasikan peperiksaan," katanya kepada BH, semalam.

Pada masa sama, beliau meggesa Menteri Pendidikan itu mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji secara menyeluruh mengenai isu beban guru, yang menjadi penyumbang utama peningkatan guru bersara awal. 

"Lebih penting, kena babitkan kesatuan guru. Sebelum ini, keputusan dibuat Kementerian Pendidikan tidak dibincang dengan kesatuan, jadi dasar dan keputusan dibuat tanpa maklumat dan data tepat pada peringkat bawah," katanya, yang mahu Fadhlina segera mewujudkan jawatan warden asrama tetap.

Tiga inisiatif

Selain itu, Aminuddin juga mahu Fadhlina segera mengeluarkan surat kuasa kepada Jabatan Pendidikan negeri untuk menguatkuasakan tiga inisiatif kepada guru yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Sebelum ini, bekas Perdana. Menteri umumkan tiga inisiatif. Pertama, guru besar Gred DG48 yang naik pangkat ke Gred DG52 tidak perlu jadi guru biasa seperti peratura semasa.

"Kedua babitkan guru sekolah rendah dengan Gred DG48 boleh menjadi penolong kanan. Ketiga adalah laluan kerja Guru Cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga Gred DG52 dan DG54. 

"Sekarang, Jabatan Pendidikan negeri hanya tunggu surat kuasa daripada Kementerian Pendidikan. Jika tiada, ramai guru besar terpaksa kembali jadi guru biasa tahun depan," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom, menyarankan Fadhlina membentuk beberapa kumpulan pemikir dalam. kalangan bekas pegawai kementerian, ilmuwan dan tokoh pelbagai bidang untuk menasihatinya.

"Menteri boleh wujudkan empat atau lima kumpulan pemikir Pertama dalam kalangan pegawai yang sudah bersara untuk beri buah fikir untuk majukan pendidikan negara.

"Kedua dalam kalangan tokoh terkemuka pelbagai bidang. Kumpulan pemikir lain boleh terdiri dalam kalangan korporat, ahli ekonomi, agamawan dan ilmuwan lain, yang akan membantunya dalam menentukan hala tuju baharu pendidikan negara," katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan Fadhlina perlu memberi tumpuan untuk menambah baik infrastruktur pendidikan di sekolah luar bandar dan kawasan pinggir bandar yang memiliki jumlah penduduk yang padat.

Previous Post Next Post