Mengapa pentadbir cemerlang diarahkan bertukar sekolah?


Isu pendidikan bukanlah sesuatu yang asing lagi pada hari ini. Bermacam-macam cerita kita sering terbaca di media sosial saban hari daripada pelbagai pihak. Antara topik cukup terkenal dalam kalangan warga pendidik adalah isu pertukaran sekolah. 

Boleh dikatakan, isu pertukaran sekolah sangat terkenal di dalam kalangan pengetua dan guru besar. Pelbagai sebab kenapa guru ingin bertukar sekolah antaranya agar dapat tinggal di tempat asal, mengelakkan hubungan jarak jauh dengan pasangan dan beberapa sebab yang lain. 

Pun begitu, jangan tidak tahu ada juga pengetua dan guru ditukarkan ke sekolah lain atas arahan pihak atasan. Lebih mengejutkan, pengetua dan guru ini berkhidmat dengan cemerlang di sekolah asal tanpa sebarang masalah disiplin. Perkara ini agak menghairankan kerana pasti ada yang mempersoalkan kenapa perlu ditukar guru yang cemerlang? 

Walau bagaimanapun, perkara sebegini perlu dilihat dari sudut positif yang boleh memberi impak kepada institusi pendidikan negara. Dengan pertukaran guru cemerlang ke sekolah yang lain, secara tidak langsung akan dapat menyumbangkan sesuatu yang baharu agar prestasi sekolah tersebut dapat dipertingkatkan. 

Secara ringkasnya, pertukaran pengetua atau guru cemerlang ke sekolah lain adalah untuk membantu menaikkan imej sekolah tersebut. Dengan kehadiran guru cemerlang ke sekolah yang kurang diminati ibu bapa, mungkin boleh menyumbangkan sesuatu agar sekolah tersebut terus terpahat di dalam pemikiran ibu bapa. 

Isu Guru Cemerlang Ditukarkan & Ada Ibu Bapa Tidak Hantar Anak Sebab Guru Bertukar 

Dalam pada itu, muncul juga isu lain yang hampir serupa dengan pertukaran guru. Barangkali ada yang pernah tersangka bahawa guru-guru yang berkhidmat dengan cemerlang perlu ditukar atau dipindahkan ke sekolah lain. 

Malah lebih malang, kebimbangan itu disusuli dengan tindakan segelintir ibu bapa yang dikatakan tidak lagi mahu menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan hanya kerana guru cemerlang tersebut sudah tiada. Soalnya, benarkah begitu? 

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Zainal Abas menjelaskan, ‘kemenjadian’ sesebuah sekolah itu bukanlah terletak pada keberadaan guru cemerlang tersebut semata-mata. Dalam masa sama, setiap guru pula sepatutnya perlu ada kemahiran dan nilai profesional masing-masing. 

Cuma kalau dilihat dalam spektrum yang lebih luas, tidak dinafikan bilangan guru cemerlang adalah terhad berdasarkan kuota. Dalam masa sama, bukan semua guru memohon untuk menjadi guru cemerlang. Maka tercetuslah sedikit konflik ‘supply & demand’ di situ. 

“Ada sekolah yang jadi pilihan ibu bapa kerana imej sekolah tu dan sebagainya. Tapi ada sekolah lebih kurang satu kilometer (1km) dari sekolah tu yang mungkin mempunyai kekurangan murid. 

“Sebenarnya itu yang kita nak jalankan untuk kita perkasakan semua sekolah yang ada. Supaya walau di mana sekolah pun murid itu mendaftar, mereka akan mendapat perkhidmatan yang sama daripada guru-guru,” tambahnya. 

Sistem Baharu Pertukaran Guru Ke Sekolah Lain 

Zainal Abas berkata, guru hakikatnya boleh memohon untuk bertukar sekolah sepanjang tahun. Namun pada tahun lepas, KPM sudah menetapkan satu garis panduan untuk permohonan pertukaran guru. 

“Selalunya pertukaran guru ini antara sebabnya adalah sebab tempoh berkhidmat lama di sesuatu tempat, jadi mereka mohon digerakkan ke tempat lain. Jadi itu adalah sebahagian daripada proses. 

“Cuma kalau dulu kita hanya laksanakan permohonan pertukaran dua kali setahun, atau kita laksanakan pertukaran tu dua kali setahun, tapi dalam kalendar akademik ni kita laksanakan empat kali setahun,” katanya semasa ditemu bual Siakap Keli baru-baru ini. 

Sehubungan itu, jelas Zainal, permohonan pertukaran boleh dibuat pada sepanjang tahun, namun pergerakan mereka ke sekolah baharu hanya akan berlaku semasa cuti sekolah atau selepas cuti sekolah sahaja. 

Isu Pertukaran Lokasi Perkhidmatan Bukan Dalam Sektor Pendidikan Sahaja 

Sementara itu Zainal menjelaskan, isu pertukaran lokasi perkhidmatan sebegini bukanlah hanya terjadi dalam radius sektor pendidikan sahaja. Malah sebenarnya ia juga turut berlaku dalam beberapa sektor perkhidmatan awam lain di bawah kerajaan. 

“Kita tak boleh kata, ‘Ok, dia mesti berkhidmat di sekolah itu sehingga akhir hayat’ sebab isu penempatan berlaku di semua tempat. Bukan dalam pendidikan saja, tapi Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, polis, tentera, semua berpindah berdasarkan tempat. 

“Jadi benda ini memang terjadi walaupun dalam jawatan-jawatan kritikal di pejabat kerajaan, ia berlaku setiap tiga tahun, setiap lima tahun (contoh). 

“Tapi kita ada juga guru-guru yang telah berkhidmat mungkin 10 tahun yang sepatutnya mungkin boleh digerakkan ke tempat lain untuk membantu atau perkasakan sekolah-sekolah lain,” tambahnya.

 

Previous Post Next Post