Program khatam al-Quran bertukar majlis tahlil

MD Razif Shahid.

Melaka: Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Md Razif Shahid sempat menyiapkan tugasan terakhirnya di pejabat sebelum maut dalam nahas jalan raya petang kelmarin. 

Rakan sekerjanya, Abdul Razak Aman yang juga Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam, JPN Melaka berkata, arwah tetap hadir ke JPN Melaka bagi menguruskan program khatam al-Quran dijadualkan pada Jumaat ini biarpun bercuti dua hari selepas pulang daripada Kejohanan Sukan Persatuan Guru-guru Agama SeMalaysia
di Sabah pada Ahad. 

Menurutnya, seramai 46 peserta dari Melaka menyertai kejohanan di Kota Kinabalu itu dengan arwah bertindak sebagai Chef De Mission. 

"Namun, sekitar jam 10 pagi kelmarin arwah kerana mahu menyiapkan surat-surat berkaitan program terakhir tahun ini iaitu khatam al-Quran. 

"Kebetulan baru balik dari Sabah, maka bersembang pun pasal hal di sanalah dan arwah bercerita semula kes kematian seorang peserta dari Kelantan yang bermain takraw," katanya dihubungi di sini. 

Menurut Abdul Razak, itulah perbualan terakhir beliau dengan arwah yang disifatkan rakan yang baik dan komited terhadap kerja sebelum masing-masing menyambung tugasan. 

"Kata arwah Allah ambil nyawa pemain itu dalam 15 minit saja selepas mengadu sakit kepala ketika bermain takraw. 

"Saya kemudian minta diri untuk sambung tugasan di bilik dan arwah beredar dari pejabat kira-kira jam 4 petang selepas selesai kerjanya. 

"Kira-kira 15 minit kemudian saya terima panggilan daripada rakan memaklumkan arwah kemalangan, menyebabkan saya terkejut dan meminta dia menghantar gambar dan lokasi kemalangan," katanya. 

Menurut Abdul Razak selepas memaklumkan kejadian kepada ketua jabatan dia bergegas ke tempat kemalangan dan tiba kira-kira 20 minit kemudian, namun tidak dapat merapati mangsa kerana dikawal anggota bomba kerana risiko kebocoran tabung gas asli (NGV). 

"Tepat jam jam 5 petang selepas pasukan forensik tiba dan mangsa dikeluarkan daripada keretanya sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. 

"Saya reda biarpun amat sedih dengan pemergian arwah. Malah arwah sempat menyelesaikan semua kerja-kerjanya hingga tugasan terakhir. 

"Nampaknya program khatam al-Quran Jumaat ini juga menjadi majlis tahlil untuk arwah," katanya. 

Harian Metro semalam melaporkan Md Razif, 54, maut di tempat kejadian selepas Proton Wira dipandunya dipercayai terbabas dan merempuh pokok di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin) dekat Paya Dalam, di sini, kira-kira jam 5 petang semalam.

 

Previous Post Next Post