NUTP tuntut tiga inisiatif kenaikan pangkat, gred guru diteruskan

Aminuddin Awang, Presiden NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap setiap inisiatif yang diumumkan pentadbiran sebelum ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan baharu.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata inisiatif yang diumumkan sebelum ini dilihat membawa kebaikan kepada penjawat awam.

NUTP, tegasnya, menerima sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri dan sentiasa menyokong pentadbiran semasa.

"NUTP berharap inisiatif atau pengumuman kerajaan sebelum ini yang membawa kebaikan kepada penjawat awam dapat dilaksanakan," katanya kepada BH, hari ini.

Aminuddin berkata, antaranya ketika kerajaan diterajui Datuk Seri Najib Razak, ada pengumuman mengenai penambahan Gred DG56 bagi guru Kementerian Pendidikan (KPM).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak dilaksanakan susulan pertukaran kerajaan selepas itu sehingga kini.

"Pada 1 Oktober lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Majlis Perhimpunan Khas bersama warga NUTP, mengumumkan tiga inisiatif kepada guru.

"Inisiatif pertama ialah apabila guru besar Gred DG48 yang naik ke DG52 tidak perlu menjadi guru biasa, lagi; inisiatif kedua membabitkan guru sekolah rendah dengan Gred DG48 boleh menjadi penolong kanan.

"Inisiatif ketiga adalah laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah diperluaskan sehingga ke Gred DG52 dan DG54.

"Justeru, NUTP berharap apa-apa sahaja yang diumumkan oleh pentadbiran terdahulu dapat dilaksanakan di bawah kerajaan baharu," katanya.

Sementara itu, ditanya jika dasar pendidikan akan terus berubah seiring pertukaran kerajaan, beliau berkata, ia bergantung kepada Menteri Pendidikan yang bakal dilantik.


Previous Post Next Post