'Ada keperluan tambah prasekolah' - Fadhlina

KLANG – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melihat keperluan menambah kelas prasekolah dan tadika kerajaan bagi menampung keperluan semasa terhadap perkhidmatan tersebut di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau juga telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terhadap sebarang keperluan tersebut.

“Kita lihat juga perkara tersebut (prasekolah dan tadika) dan sedang melihat keutamaan dalam menambah sekolah berkaitan.

“Saya telah bincang dengan KSU dan JPN bahawa ada keperluan ketika ini melihat, menambah dan dasar-dasar berkait rapat sekolah ini dipercepatkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun pada hari pertama sesi persekolahan.

Media sebelum itu melaporkan jumlah pusat pendidikan awal kanak-kanak disediakan kerajaan masih belum mencukupi untuk menampung permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut di dalam negara.

Dalam perkembangan berlainan sama ada kelonggaran pemakaian tali leher di sekolah susulan perkara itu dibenarkan di Dewan Rakyat sebelum ini, Fadhlina menyerahkannya kepada pihak sekolah.

“Itu serah kepada sekolah. Jadi, kita berikan kelonggaran kepada sekolah menentukan pakai atau tidak (tali leher),” tegasnya.

Previous Post Next Post