Cuti sekolah terlalu banyak jejaskan pendapatan pengusaha kantin sekolah

Imej hiasan

PETALING JAYA: Pegusaha kantin bimbang pendapatan pada tahun ini berkurangan ekoran dakwaan terlalu banyak cuti dalam takwim sekolah.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairudin Hamzah mendakwa, mereka hanya dapat beroperasi dalam tempoh yang singkat untuk enam bulan pertama kerana terlalu banyak cuti diberikan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, ia membebankan pengusaha yang perlu membayar gaji seorang pekerja RM1,500 sebulan memandangkan upah harian tidak mendapat sambutan.

"Kami menghadapi masalah cuti terlalu banyak di awal tahun, kalau kita lihat bulan ini pengusaha kantin hanya dapat beroperasi selama 16 hari dan Februari pula 12 hari sahaja, kemudian selepas itu ada cuti tahunan.

"Pada Mac pula kami hanya dapat beroperasi selama seminggu sahaja sebab ada cuti tambahan tujuh hari yang diumumkan baru-baru ini. April pula puasa dan minggu terakhir adalah Hari Raya Aidilfitri. 

"Jika nak bayar sehari RM80 untuk seorang pekerja, siapa mahu kerja sekiranya dalam sebulan hanya boleh peroleh sekitar RM400 sahaja? Itu tidak mencukupi sebab itu setiap pengusaha perlu membayar RM1,500 sebulan walaupun hanya bekerja untuk lima hari sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, pihaknya memohon agar Kementerian Pendidikan mengkaji semula cuti-cuti yang diberikan dan mengambil kira setiap pihak yang terlibat dalam pengurusan sekolah bukan sahaja guru serta murid sahaja.

Jelasnya, isu ini sudah berlanjutan lama tetapi pada tahun ini ia jelas kerana terlalu banyak cuti diberikan secara berturut- turut.

"Cuti sekolah ini bukan sahaja terlalu banyak tetapi susunannya juga saya rasa agak tidak kena.

"Sepatutnya mengambil kira semua pihak yang terlibat dengan sekolah, bukan sahaja pengusaha kantin terjejas tetapi kedai buku dan pengusaha bas turut sama terkesan.

"Ini melibatkan rantaian, ekonomi yang besar, jadi bila berlaku keadaan seperti ini tidak mustahil selepas Hari Raya Aidilfitri akan ada banyak kantin tidak dapat beroperasi sepenuhnya disebabkan kehilangan pekerja serta sebagainya," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Previous Post Next Post