Benarkan penjawat awam kritik organisasi secara terbuka buat rakyat hilang percaya


Kuala Lumpur: Langkah tidak mengenakan tindakan kepada penjawat awam yang membuat kritikan secara terbuka di media sosial dikhuatiri akan menyebabkan perbuatan itu semakin berleluasa. 

Walaupun ia mencerminkan keterbukaan, pendirian itu seolah-olah memberi lampu hijau' kepada penjawat awam untuk mengkritik secara terbuka, walaupun kritikan atau aduan dibuat itu mungkin tidak sahih.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik, berkata tindakan itu akan memburukkan sesuatu keadaan dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem atau dasar yang ditetapkan kerajaan. 

Beliau berkata, banyak situasi boleh dijadikan contoh, antaranya kes Cikgu Fahdli yang sebelum ini hendak dilucutkan jawatan kerana membuat kritikan secara terbuka, namun tindakan itu tidak diteruskan disebabkan campur tangan pelbagai pihak. Akibatnya, beliau berkata, perkara itu menjadi rujukan dan dilihat seolah-olah memberi 'lampu hijau' kepada penjawat awam untuk terus membuat kritikan di media sosial.

"Kadangkala apa yang dikritik itu belum tentu betul. Jadi, seeloknya, perbuatan ini tidak digalakkan kerana ia boleh memburukkan keadaan.

"Keadaan boleh menjadi huru-hara kalau semua orang nak kritik di media sosial. Kalau tak nak patuh peraturan, boleh keluar daripada mejadi penjawat awam.

"Sudah ada pekeliling dan ikutlah peraturan yang ditetapkan. Jika amaran sudah diberikan, tetapi masih melakukan perkara sama, sepatutnya dikenakan tindakan.

"Apabila menjadi penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk patuh kepada peraturan yang ditetapkan. Ini bukan soal demokrasi," katanya kepada BH.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mahu budaya memberi amaran kepada guru yang menyuarakan kebimbangan berhubung sesuatu isu di media sosial dihentikan dengan segera.

Ini susulan daripada hantaran guru pendidikan khas, Hasmadi Hamdan, yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan kepentingan dan kebajikan guru serta murid ketika memutuskan dasar utama pendidikan.

Mengulas lanjut, Jasni berkata, apabila kritikan dilakukan secara terbuka, ia secara tidak langsung ia akan mencemarkan sistem pendidikan negara, perguruan, jabatan dan kementerian itu sendiri hingga membuatkan masyarakat hilang kepercayaan. 

Beliau berkata, kritikan atau aduan sepatutnya disampaikan menerusi saluran yang betul dan pihak berkaitan perlu menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan aduan itu.

Katanya, KPM boleh mewujudkan satu portal untuk menerima sebarang aduan untuk tindakan lanjut.

 

Previous Post Next Post