Tindakan larang pegawai tegur guru kritik organisasi dapat pujian netizen


Kuala Lumpur: Ketegasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mempertahankan prinsip ketelusan dan menjaga kebajikan guru dalam menyuarakan pandangan menerusi media sosial, mendapat reaksi positif daripada ahli akademik dan aktivis pendidikan. 

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, menegaskan setiap guru yang bersuara dan memberikan pandangan secara jujur dan bertanggungjawab adalah mereka yang mencintai sistem pendidikan.

Beliau berkata, mereka yang bersuara itu adalah guru yang menyayangi masa depan anak dan menghormati kepemimpinan pendidikan negara.

"Tahniah dan terima kasih menteri kerana bertegas dalam mempertahankan prinsip ketelusan demi menjaga kebajikan guru. 

"Percayalah, apabila YB (Fadhlina) mempertahankan mereka, rasa sayang dan hormat mereka kepada menteri sebagai pemimpin pendidikan akan bertambah tinggi," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya. 

Anuar berkata, guru-guru bersuara kerana mereka adalah barisan hadapan pelaksana pendidikan di lapangan. 

Katanya, guru yang setiap hari bergelumang dengan pelbagai cabaran pendidikan, faham masalah yang dihadapi dan sentiasa inginkan kualiti pendidikan negara menjadi lebih baik.

"Semoga usaha baik menteri ini akan membina semula semangat dan jiwa keguruan Malaysia yang semakin melunturkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

"Buanglah kelakuan kolot dan angkuh seperti budaya menakut-nakutkan guru, yang sebenarnya tidak akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah akan melemahkan lagi sistem pendidikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Fadhlina yang mengarahkan supaya budaya memberi amaran kepada guru yang mengkritik dan menyuarakan kebimbangan menerusi media sosial dihentikan segera.

Sementara itu, aktivis pendidikan yang juga guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh, turut memuji keterbukaan menteri pendidikan menerima kritikan dan pandangan.

Katanya, apabila menteri ter buka dan mula nak mendengar, ia satu petanda baik untuk kebaikan sistem pendidikan negara.

 

Previous Post Next Post