Murid rosakkan harta benda sekolah akan sertai khidmat komuniti



Kuala Lumpur: Murid yang bertindak merosakkan harta benda sekolah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang pada hari akhir sesi persekolahan, semalam, akan dibabitkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara sama tidak berulang. 

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pihak sekolah memanggil murid yang terbabit bersama waris mereka, hari ini bagi membincangkan isu berkenaan. 

JPN negeri itu berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian itu dan akan memastikan ia diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah. 

"Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan, semalam. 

Menerusi video itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas. 

JPN Pulau Pinang berkata, nilai kerugian kerosakan harta benda berkenaan sedang dalam siasatan. 

Katanya, JPN Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku, termasuk vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri ini serta sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian. 

"Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian. 

"Kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat supaya selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya. 

Pada masa sama, ia turut mengingatkan portal yang menyiarkan video berkenaan tanpa menutup muka murid supaya memadamnya kerana ia bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Previous Post Next Post