70 peratus buku teks telah didigitalkan - KPM

Pkharuddin (dua dari kanan) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada murid di SJKC Chung Hwa, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!


KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menghasilkan sebanyak 70 peratus buku teks digital untuk kegunaan murid dan pelajar sekolah.


Ketua Pengarahnya, Datuk Pkharuddin Ghazali memaklumkan, penggunaan buku teks digital telah dimasukkan ke platform DELiMA pembelajaran dalam talian.


Menurutnya, bagaimanapun, KPM masih berusaha memastikan peranti-peranti mencukupi dibekalkan ke sekolah bagi membolehkan penggunaan buku teks digital diperluaskan ke seluruh negara.


“Sebanyak 50,000 komputer riba telah diluluskan untuk diagihkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Perolehan itu akan dibuat mengikut formula yang sedang diperkemaskan supaya semua sekolah mendapat bekalan komputer riba untuk digunakan bagi tujuan pengajaran khususnya dalam pengunaan buku teks digital serta lain-lain bahan.


“Sekiranya berjalan lancar, perkara ini akan diselesaikan dalam tahun semasa. Kita berharap agihan akan dilakukan mengikut kesesuaian keperluan sekolah-sekolah pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja di Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Chung Hwa di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Pkharuddin memberitahu, KPM sedang bergerak ke arah melaksanakan Dasar Pendidikan Digital dan perkara tersebut dalam proses untuk dibawa kepada jemaah menteri.



Dalam pada perkembangan lain, Pkharuddin memaklumkan sebanyak 10,233 buah sekolah dibuka di seluruh negara pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan murid seramai 5,047,489 orang dan seramai 412,204 orang guru.


“Bagi sekolah-sekolah kategori A melibatkan empat negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah, sebanyak 3,044 buah sekolah dibuka dengan bilangan guru seramai 128,829 orang dan seramai 1,531,262 orang pelajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Previous Post Next Post