Kerajaan dalam rangka cadangan mewajibkan pendidikan hingga sekolah menengah



KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah bagi memastikan tiada anak-anak yang tercicir selepas tamat sekolah rendah.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, draf cadangan mengenainya telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Katanya, ketetapan itu dibuat bagi memastikan tiada anak- anak yang tercicir dalam bidang pendidikan sama ada di peringkat rendah dan menengah.


"Ketika ini berdasarkan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996 hanya setakat darjah enam sahaja. Tetapi (menerusi) komitmen Kementerian Pendidikan (KPM), kita telah panjangkan dan sebarluaskan (perkara ini)," katanya di Dewan Negara semalam.


Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk R. Nelson yang ingin tahu bilakah KPM akan mewajibkan pelajaran di peringkat sekolah menengah untuk memastikan pelajar tidak tercicir selepas tamat sekolah rendah.


Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun dan sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua- duanya sekali.


Berdasarkan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996, Fadhlina turut menjelaskan, ibu bapa diwajibkan menghantar anak mereka ke sekolah hanya setakat tahun enam.


"Ingin saya maklumkan, benar setakat ini berdasarkan Akta Pendidikan Negara dan Dasar Pendidikan Wajib hanya setakat Darjah 6.


"Tetapi komitmen KPM, telah kita panjangkan dan sebar- luaskan. Antara lain kita juga telah mengadakan program Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dan K11.


"K9 akan memastikan anak- anak tidak tercicir daripada Darjah 1 sehingga Tingkatan 3 dan K11 akan memastikan anak-anak akan terus berada di sekolah daripada Darjah 1 sehingga Tingkatan 5," jelasnya. 


Sementara itu, Dasar Pendidikan Wajib itu tidak memberikan sebarang makna dan kesan jika tiada penguatkuasaan untuk memastikan ibu bapa menghantar anak-anak sehingga peringkat menengah. 


Utusan Malaysia melaporkan, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon dipetik sebagai berkata, selama ini undang-undang itu mewajibkan anak-anak dapat menjalani setakat tahun enam sahaja namun masih belum ada tidakan diambil kepada ibu bapa yang ingkar arahan.


Katanya, kerajaan perlu memastikan undang-undang itu dapat dilaksanakan bagi memastikan tiada siapa yang tercicir sama ada di sekolah rendah mahupun menengah. 


"Kita lihat dasar ini bagus, tetapi sejauh mana pelaksanaannya bagi memastikan ibu bapa mematuhi akta ini," katanya.


Fouzi berkata, malah masyarakat perlu mengambil berat soal pembelajaran anak- anak di kawasan tempat tinggal mereka untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati wujud kanak-kanak tidak dihantar ke sekolah bagi menjalani sesi pembelajaran.


"Di Barat, mereka akan melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Tetapi adakah masyarakat kita sanggup melakukan perkara sama," soalnya.


Katanya, menerusi akta itu, orang ramai boleh melaporkan kepada polis jika ada anak- anak tidak dihantar ke sekolah dan ibu bapa yang didapati bersalah, boleh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.


Previous Post Next Post