Guru prasekolah dakwa dengar bisikan sebelum jatuh bangunan

Kuantan: Guru wanita mendakwa mendengar bisikan selama empat hari berturut sebelum bertindak terjun dari tingkat empat bangunan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di bandar ini semalam. 


Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, guru berusia 28 tahun itu terselamat dan hanya mengalami luka, bengkak dan lebam pada bahagian muka selain calar di siku kiri. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, wanita terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, bagi menerima rawatan kecemasan. 

"Saksi menyatakan melihat wanita berkenaan berada di tingkat empat sekolah dan berada di bahagian luar penghadang bangunan seperti ingin terjun. 

"Saksi menyatakan terdapat seorang guru perempuan lain cuba memujuknya daripada terjun namun gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, hasil temubual saksi menyatakan guru itu pernah menerima rawatan dan masih dalam pemantauan sebagai pesakit psikiatri di HTAA dan Hospital Universiti Islam Antarabangsa (IIUM), di sini. 

"Daripada maklumat diperoleh, wanita terbabit masih belum berkahwin dan kini bertugas sebagai pengajar di kelas pra di sekolah terbabit. 

"Hasil temubual dengan mangsa yang berada dalam keadaan separa sedar menyatakan dia tidak tahu kejadian yang berlaku dan hanya mendengar suara halus dalam tempoh empat hari berturut-turut supaya terjun dari bangunan sekolah. 

"Dia juga menyatakan tidak tahu bagaimana boleh berada di Zon Merah HTAA," katanya. 

Wan Mohd Zahari berkata, kes dicadangkan dirujuk kepada pihak HTAA memandangkan mangsa pesakit psikiatri di hospital berkenaan dan masih dalam pemantauan.
Previous Post Next Post