PCG: Jangan susahkan guru di sekolah - NUTP

PETALING JAYA: Kerajaa digesa supaya tidak menyusah- kan serta membebankan guru dan sekolah dengan mengurangkan peruntukan Bantuan Geran Per Kapita (PCG) bagi setiap mata pelajaran di sekolah.


Utusan Malaysia melaporkan, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon sebaliknya dipetik sebagai berkata, pihak sekolah seharusnya dipermudahkan supaya mereka dapat menguruskan aktiviti persekolahan berdasarkan peruntukan yang diberikan dengan lebih teratur. 


"Sekarang hanya disalurkan 42 peratus sahaja mungkin fasa pertama. Kemungkinan pihak Kementerian Kewangan salur peruntukan secara berfasa.


"Kami berpandangan jika disalur secara berfasa dan berlaku pengurangan, pihak sekolah harus dimaklumkan bagi memudahkan pengurusan dan perancangan perbelanjaan," katanya ketika dihubungi. 


Semalam, terdapat beberapa aduan daripada guru mengatakan berlaku pengurangan lebih 10 peratus peruntukan tahunan setiap subjek tanpa dimaklumkan alasan di sebalik pengurangan berkenaan.


Berdasarkan laporan beberapa guru di dalam mesyuarat bersama pengurusan sekolah, daripada lebih RM4,000 yang diterima sebelum ini, kini kira-kira RM3,000 sahaja diperuntukkan untuk setiap subjek. 


Pekelilig Kementerian Pendidikan menyatakan, PCG mata pelajaran merupakan peruntukan yang disalurkan mengikut setiap mata pelajaran bagi pembelian peralatan kecil dan bahan habis guna termasuk kertas braille bagi tujuan PdP, pembelian buku rujukan, ensiklopedia, perisian, cakera padat dan perkara lain yang sesuai. 


Difahamkan, peruntukan PCG mata pelajaran mengalami penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan, dengan fasa pertama dibayar bulan ini manakala fasa kedua disalurkan bermula Oktober depan. 


Fouzi menyifatkan, kekurangan dana akan menjejaskan aktiviti murid dan penyelenggaraan kecil sekolah serta subjek yang memerlukan bahan untuk amali.


"Biasanya penggunaan kertas adalah bahan yang sangat membebankan pihak sekolah hingga terpaksa dibantu oleh persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).


"Jika pengurangan berlaku akan menambahkan lagi beban pengurusan sekolah sedangkan biasanya pun peruntukan pembelian kertas tidak mencukupi.


"Pembayaran utiliti juga akan turut terjejas. Perancangan kokurikulum yang memerlukan banyak kos hadiah, dan lain-lain pembayaran bagi pelaksanaan pertandingan pelbagai peringkat akan lebih terasa kesannya," katanya.

Previous Post Next Post