Pihak sekolah dipohon beri ruang ibu bapa teman anak hari pertama sekolah - Fadhlina

SEREMBAN: Pihak sekolah diminta memberi ruang kepada ibu bapa dan penjaga untuk menemani anak masing-masing semasa hari pertama sesi persekolahan yang akan bermula minggu hadapan.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, menghantar anak pada hari pertama persekolahan adalah detik penting buat ibu bapa oleh itu mereka juga perlu diberi peluang bersama guru-guru dalam proses membiasakan anak-anak mereka dalam suasana persekolahan.


“Menghantar anak pada hari pertama persekolahan adalah satu momen paling penting buat ibu bapa jadi berilah ruang kepada ibu bapa untuk bersama dengan pihak guru dan sekolah dalam proses ini.


“Penting urusan-urusan ini dibereskan semasa minggu pertama (persekolahan) supaya mereka (pelajar) dapat selesa dan kita juga mendukung sokongan ibu bapa pada hari pertama,” katanya.


Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Seminar Membangunkan Malaysia Madani: Peranan Sektor Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek di sini hari ini.


Baru-baru ini, Fadhlina memaklumkan, Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan surat arahan umum kepada semua institusi pendidikan di bawahnya untuk tidak mengadakan sebarang kelas akademik pada minggu pertama persekolahan.


Katanya, ia bertujuan meningkatkan interaksi dan suai kenal antara guru dan pelajar pada minggu pertama persekolahan.


Jelas beliau, pihak kementerian menggalakkan guru untuk meningkatkan nilai murni serta membiasakan pelajar dengan suasana pembelajaran yang baik pada minggu pertama persekolahan itu selain akan memberi ruang kepada ibu bapa, penjaga dan komuniti untuk temankan anak masing-masing di sekolah terutamanya pada hari pertama.


Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Fadhlina berkata, pihak kementerian amat memberi perhatian mengenai beban yang dihadapi ibu bapa dalam persiapan persekolahan anak masing-masing termasuk pakain seragam sekolah.


“Ada ruang kemanusiaan yang diberi sebagai contoh banjir di Johor, datang sahaja ke sekolah, pakailah baju apa pun asalkan berbaju sebab kami tidak mahu beban hanya soal baju itu kita tidak dapat selesaikan dan mereka dinafikan daripada pendidikan.


“Dalam soal rungutan baju kokurikulum dan badan beruniform, kami juga bersetuju, jika tidak mampu pakailah ke t-shirt (kemeja-T) yang menggambarkan sekolah mereka atau pakaian sukan untuk hadir ke sekolah dan mengikuti semua program sekolah.


“Tidak timbul soal kami berkeras soal pakaian seragam dan tidak mengambil perhatian soal itu tetapi kami bagi ruang bagaimana kami boleh bersifat akomodasi kepada semua keadaan,” kata beliau lagi.

Sumber - UTUSAN.

Previous Post Next Post