Amang seksual: Hakim putuskan pengetua dilepas dan dibebaskan

Foto NSTP

BUTTERWORTH: Hukuman terhadap pengetua sebuah sekolah menengah yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki, 5 tahun lalu, kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Fathiyah Idris mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepas dan membebaskan pengetua terbabit dari dakwaan itu berikutan pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh.

Ketika prosiding, Fathyiyah memberitahu bahawa berlaku percanggahan dalam pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas apabila mangsa mendakwa berlaku beberapa siri amang seksual tetapi apabila disoal balas, mangsa mengakui kejadian itu tidak berlaku.

Dengan itu, menurutnya, keterangan mangsa bercanggah secara material dan kredibilitinya terjejas sekali gus menyebabkan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zainuren Mohamed, 59.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili peguam E Gnasegaran, Audrey Wee Li Ye dan S Vikneswaran.

Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Zainuren dari pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat pelajar lelaki kerana berlaku percanggahan dalam keterangan mangsa.

Sebelum itu, pada Januari 2019, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya berusia 11, 13 dan 14 tahun serta minta dibicarakan bagi pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah di Butterworth antara jam 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April hingga 10 Oktober 2018.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Previous Post Next Post