Kenaikan gaji penjawat awam tidak boleh secara tiba-tiba - Menteri Ekonomi Rafizi

ALOR SETAR: CUEPACS diminta memahami kekangan kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam melaksanakan skim baharu gaji perkhidmatan awam yang tidak boleh dipenuhi segera.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata lapan cadangan yang dibuat CUEPACS dilihat sebagai hak mereka sebagai pekerja yang secara kelaziman sentiasa akan menuntut kenaikan gaji dan bonus daripada majikan setiap tahun.


Jelasnya, kerajaan dalam usaha memastikan kenaikan gaji kakitangan awam dapat terus dilakukan setiap tahun, sebelum dapat melaksanakan skim baharu gaji perkhidmatan awam seperti dituntut kesatuan itu.


"Tuntutan kenaikan gaji baik daripada CUEPACS atau pihak swasta itu hak masing-masing, saya pasti CUEPACS tahu kerajaan ada kekangan kewangan, semua majikan ada kekangan, cuma tumpuan kerajaan ketika ini adalah kita tak boleh tunaikan semua serta merta.


"Macam saya sebut mengenai kos sara hidup, ia bukan berkaitan harga barang sahaja, tetapi ada soal gaji. Sebab itu kenaikan gaji ini perlu melalui proses, cuma saya harap CUEPACS dapat terus berbincang mengenai gaji progresif ini, tetapi ia tidak boleh berlaku secara tiba-tiba," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sini, hari ini.


Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali.


Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan sentiasa terbuka dalam mendengar apa sahaja cadangan atau tuntutan dibuat CUEPACS dalam isu gaji kakitangan awam kerana mengakui sumbangan diberikan kumpulan terbabit dalam membangunkan negara.


Katanya, pada masa sama kesan daripada kenaikan gaji terbabit perlu dilihat kerajaan dalam tempoh jangka panjang mengikut kemampuan dan kesannya kepada kedudukan kewangan negara pada masa depan.


"Saya yakin kerajaan ada kerangka sasaran kenaikan gaji dari setahun ke satu tahun agar berlaku secara sistematik, itu yang cuba kami lakukan. Kita perlu lihat dalam masa lima, 10 tahun macam mana kesan kewangan, berapa gaji perlu naik, sebab itu kita kena laksana secara berperingkat dasar sistem gaji progresif ini.


"Mana-mana majikan sama ada kerajaan atau swasta terbuka dengan permintaan pekerja dan saya yakin pekerja akan faham juga kekangan majikan. Tapi setiap tahun kerajaan akan cari kemampuan terbaik agar ada kenaikan gaji secara tersusun kepada kakitangan awam," katanya.


Semalam, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat mengumumkan lapan cadangan dalam skim baharu gaji perkhidmatan awak kepada kerajaan, antaranya membabitkan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan daripada RM350 kepada RM450.


Selain itu, turut dicadangkan adalah memperkenalkan elaun bandar raya sebanyak RM500, kenaikan gaji tahunan yang perlu ditambah baik, kenaikan pangkat Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) serta gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19.

Previous Post Next Post