Lantik warden sepenuh masa, pasang CCTV atasi kes buli di asrama - IKRAM

Imej hiasan


KUALA LUMPUR: Pentadbiran sekolah berasrama perlu melakukan pemantauan lebih ketat, dengan melantik warden secara sepenuh masa dan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengatasi kes buli di asrama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Prof Dr Omar Yaakob, berkata kepemimpinan sekolah juga perlu memudah cara pelaporan atau aduan dibuat apabila bibit-bibit buli mula muncul dalam kalangan pelajar.

"Dasar perlindungan pengadu dan saksi perlu diwujudkan," katanya menerusi kenyataan hari ini, bagi mengulas kes buli dan penderaan ke atas seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan, pada 22 Mac lalu.

Omar berkata, pelajar perlu diberi kesedaran mengenai implikasi dan kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga pelaku dan keluarga masing-masing.

"Mengambil kira pembuli juga mungkin berhadapan masalah tekanan mental, kerunsingan akibat tekanan pembelajaran, rakan sebaya dan seumpamanya, peranan kaunselor sekolah perlu diperkasakan bagi mengenal pasti dan menangani masalah mental dan emosi pelajar.

"Bagi kes tertentu, hukuman yang keras boleh dikenakan termasuk penggunaan rotan jika perlu," katanya turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera beranjak kepada sistem pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu, merangkumi pendidikan berasaskan nilai, pendidikan karakter, penerapan adab dan keunggulan karamah insaniah.

Beliau berkata, KPM juga perlu membudayakan persekitaran persekolahan yang berasaskan rahmah dan kasih sayang di institusi pendidikan, bukan saja mengukuhkan adab dan nilai-nilai karamah insaniah, tetapi juga menolak budaya negatif dan ekstremis.

"Melaksanakan pendekatan menyeluruh membabitkan ibu bapa dan penjaga dalam usaha antibuli dengan menyediakan sumber, bengkel dan peluang untuk berdialog serta berkomunikasi secara terbuka dengan kakitangan sekolah.

"Bekerjasama dengan organisasi masyarakat, penguat kuasa undang-undang dan profesional kesihatan mental untuk menangani buli di dalam dan di luar persekitaran sekolah. Kerjasama ini boleh menyediakan sumber tambahan dan sokongan untuk pencegahan dan intervensi," katanya.
Previous Post Next Post