Kerusi, meja kecil punca masalah kesihatan murid

Imej hiasan


SAUDARA PENGARANG,

Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil langkah proaktif untuk meninjau semula saiz kerusi dan meja di sekolah rendah memandang semakin ramai murid memiliki saiz badan yang besar sehingga ia menjadi kebimbangan yang serius dalam kalangan guru dan ibu bapa.

Hal ini akan mewujudkan pengalaman pembelajaran yang kurang selesa dan boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mereka dalam jangka masa panjang.

Pertimbangan asas untuk melihat semula isu ini memandangkan ia melibatkan keselamatan dan keselesaan murid. Kerusi dan meja yang terlalu kecil bukan sahaja tidak memberi keselesaan semasa belajar tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti tulang belakang dan postur badan yang tidak betul. Ini boleh menjejaskan keupayaan murid untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran.

Sebaliknya, saiz kerusi dan meja yang sesuai penting bagi kesaksamaan dalam pembelajaran. Semua murid berhak untuk mendapat akses yang sama kepada persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif.

KPM juga perlu mengambil kira perkembangan semasa dalam bidang kesihatan dan ergonomi. Kajian-kajian terkini menunjukkan bahawa ergonomi yang baik adalah kritikal dalam memastikan kesejahteraan murid semasa berada di dalam persekitaran pembelajaran.

Dengan memastikan saiz kerusi dan meja yang sesuai, KPM boleh memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan murid.

Selain itu, langkah ini juga sejajar dengan aspirasi KPM untuk memajukan sistem pendidikan negara. Pembelajaran yang berkualiti tidak hanya melibatkan aspek akademik tetapi juga aspek fizikal dan emosi murid.

Dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif, KPM dapat memastikan bahawa setiap murid dapat berkembang secara menyeluruh.

Dengan memahami keperluan murid secara holistik, KPM dapat memastikan bahawa pendidikan negara terus relevan dan berkualiti untuk generasi akan datang.

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Shah Alam

Previous Post Next Post