Penstrukturan gaji penjawat awam diumum sebelum hujung tahun ini - PM



PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan gaji penjawat awam akan dinaikkan, dengan pengumuman mengenainya dibuat sebelum hujung tahun ini. 

Jelasnya, kenaikan itu wajar dilakukan berikutan struktur gaji penjawat awam tidak disemak sejak sekian lama. 

“Alhamdulillah, kita (barisan jemaah menteri) ada kesepakatan dalam hal ini. InsyaAllah berita baik ini akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, selewat-lewatnya pada belanjawan tahun ini. 

“Jadi semasa belanjawan, dengar daripada mula sampai habis,” katanya. 

Keputusan ini katanya dibuat meskipun kerajaan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan defisit perbelanjaan negara. 

“Kalau ada kepincangan, itu bukan salah golongan pekerja tetapi pengurusan kerajaan. Sementara kita betulkan salah guna kuasa golongan pemimpin, kita kena cari jalan naikkan gaji penjawat awam ini,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di UITM Pulau Pinang , di sini hari ini. 

Pada Februari lalu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menggesa kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam berikutan kedudukan gaji semasa tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup tinggi. 

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pada itu, dilapor mengumumkan bahawa semakan pertama struktur gaji penjawat awam selepas 12 tahun akan dibentangkan semasa Belanjawan 2025 berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan sistem pencen bagi pekerja baharu. 

Mesyuarat bersama Perdana Menteri dilapor membincang dan menimbang inisiatif-inisiatif penambahbaikan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.
Previous Post Next Post