Kurikulum 2027: Autonomi kepada guru diharap kurangkan ‘gangguan' JPN, PPD - NUTP

Imej hiasan via Bing Image Creator


KUALA LUMPUR: Pemberian autonomi kepada guru melalui Kurikulum Persekolahan 2027 diharap dapat mengurangkan 'gangguan' daripada pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kepada tenaga pengajar. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata autonomi kepada guru penting untuk menyerlahkan kreativiti tenaga pengajar dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mencapai objektif ditetapkan. 

Katanya, juga membolehkan guru menyelaraskan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan cabaran di sesuatu lokaliti. 

"NUTP mengalu-alukan usaha ke arah autonomi guru dalam kurikulum persekolahan 2027 dan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas inisiatif itu. 

"Kita perlu sedar bahawa sekolah di negara kita berada di pelbagai lokaliti yang ada masalah dan cabaran tersendiri kepada guru, ibu bapa dan murid. Ada sekolah antaranya di pedalaman, luar bandar, pusat bandar dan pinggir pantai. 

"Justeru, autonomi terpimpin yang diberikan kepada guru mampu menyerlahkan kreativiti guru dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mencapai objektif ditetapkan," katanya kepada BH hari ini. 

Semalam Fadhlina dilaporkan berkata warga pendidik khususnya guru akan diberikan autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Persekolahan 2027 akan datang. 

Kurikulum Persekolahan 2027 dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi, antara lain bermatlamat melahirkan murid berpengatahuan serta kompeten serta mencapai keseimbangan optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti. 

Pada masa sama, Aminuddin berkata, aspek integriti dan kemahiran guru berkait dengan pelaksanaan kurikulum 2027 ini, perlu diberikan tumpuan khusus oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam tempoh terdekat ini. 

"Sehubungan itu, aspek latihan guru perlu dijalankan secara berfokus dan secara bersemuka dan tidak secara dalam talian dengan alasan tiada peruntukan," katanya. 

Sementara itu, fellow penyelidik dari Institut Kecemerlangan Guru dan Pemimpin dalam Pendidikan (IETLE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Fairuz Jafar berkata, autonomi guru itu baik, namun KPM harus mempunyai mekanisme untuk memastikan tanggungjawab diberikan kepada guru dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. 

Katanya, ia penting bagi memastikan murid memperoleh pendidikan berkualiti secara konsisten melalui kelebihan yang diberikan kepada guru itu. 

"Autonomi guru ini perlu untuk membolehkan mereka membuat keputusan mengenai kaedah pengajaran, pemilihan bahan pengajaran, pentafsiran perkembangan dan pencapaian murid. 

"Namun, autonomi juga harus diimbangi oleh aspek kebertanggungjawaban," katanya. 

Mohd Fairuz berkata, penyedia latihan guru antaranya Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Pengajian Pendidikan di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) perlu menggerakkan usaha bagi memastikan latihan guru dan penyediaan bakal guru menepati hasrat KPM apabila struktur kurikulum baharu pendidikan dilancarkan kelak. 

Katanya, ia penting supaya autonomi guru yang diberikan kepada guru di negara ini berjaya dilaksanakan dengan baik apabila wujudnya kandungan yang jelas mengenai kurikulum baharu kelak.

 

Previous Post Next Post