Kurikulum 2027: Peluang untuk guru serlahkan kreativiti - KONGRES

Imej hiasan


SEREMBAN: Inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) memberi autonomi kepada guru dalam melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 membuka peluang kepada guru menyerlahkan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran.

Setiausaha Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya menyokong langkah itu kerana guru berdepan keadaan berbeza, murid berbeza, kemudahan berbeza serta lokaliti berbeza.

"Justeru guru mampu menilai dan mencari kaedah paling terbaik dan sesuai untuk memastikan proses pengajaran mencapai objektifnya.

"KONGRES berharap KPM dapat menyediakan latihan dan kemahiran yang secukupnya bagi memastikan aspek integriti dan kebertanggungjawaban guru dimantapkan lagi untuk memastikan keberkesanan autonomi ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan guru akan diberi autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu, Kurikulum Persekolahan 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata autonomi itu hadir dengan tanggungjawab serta integriti dan KPM ketika ini sedang memberi latihan bagi memenuhi matlamat terbabit.

Kurikulum Persekolahan 2027 dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi, antara lain bermatlamat melahirkan murid yang berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan yang optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.

Kurikulum itu menyaksikan murid sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Satu (Tahun Satu dan Dua); Tahap Dua (Tahun Tiga dan Empat); serta Tahap Tiga (Tahun Lima dan Enam).

Pada masa ini, murid sekolah rendah dibahagikan kepada dua tahap iaitu Tahap Satu (Tahun Satu, Sua dan Tiga) dan Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam).

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata KPM melalui Institut Pendidikan Guru juga harus menyediakan panduan model autonomi bagi memantapkan aspek pengajaran, ketelusan dan kebertanggungjawaban guru dalam ruang lingkup autonomi yang diberikan.

 

Previous Post Next Post