Murid Tingkatan 3 maut selepas dos kedua, JKN Perak tunggu laporan pakar



Ipoh: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak masih menunggu laporan siasatan lengkap pakar forensik berhubung dakwaan seorang remaja lelaki yang meninggal dunia 24 Oktober lalu, sehari selepas menerima dos kedua vaksinasi Covid-19.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian remaja berusia 15 tahun itu yang menerima vaksinasi dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini, pada 23 Oktober lalu.

Menurutnya, remaja berkenaan pada mulanya hanya dilaporkan mengalami sakit di tempat suntikan selain turut dimaklumkan tidak mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin atau ubat selain diketahui tidak menghidapi sebarang penyakit kronik.

"Remaja itu juga tidak memaklumkan mengalami sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama sebelumnya.

"Sekitar 9.30 pagi pada 24 Oktober iaitu sehari selepas menerima suntikan dos kedua, remaja berkenaan ditemui dalam keadaan sesak nafas lalu tidak sedarkan diri di rumahnya.

"Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 10.40 pagi di sebuah hospital swasta ketika menerima rawatan kecemasan," katanya.

Dr Lay Ming berkata, bedah siasat yang dijalankan pada 3.40 petang pada hari sama kematian remaja terbabit mendapati terdapat penyempitan saluran paru-paru (spontaneous bronchospasm) pada remaja itu.

Beliau berkata, kesemua sampel tisu dalam badan si mati sudah dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya lagi, susulan itu laporan bedah siasat berkenaan dikategorikan masih belum lengkap memandangkan terdapat hasil uji kaji yang belum diterima.

"Pihak kami masih menunggu laporan bedah siasat yang lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematiannya," katanya.

Post a Comment

0 Comments