Doktor dakwa beg sekolah berat antara punca tulang belakang anak bengkok


SEREMBAN - Seorang doktor mendakwa rutin anaknya menggalas beg sekolah berat selama bertahun-tahun menjadi antara punca dia menghadapi masalah tulang belakang bengkok.

Kesannya, anak sulung kepada pakar pediatrik Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi iaitu Nurul Hanim Fazwin, 17, terpaksa menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang telah bengkok 40 darjah.

Menurut Dr Mohd Zaqrul, beberapa kajian dilakukan di negara Eropah menunjukkan membawa beg berat boleh memberi kesan kepada postur badan seseorang.

Bagaimanapun beliau mengakui alasan itu tidak boleh dinyatakan 100 peratus sebagai faktor yang menyumbang kepada masalah tulang belakang dan pertumbuhan kanak-kanak dan remaja seperti anaknya.

"Saya tak pernah terfikir yang anak saya menghadapi skoliosis iaitu masalah tulang bengkok, tetapi pada bulan Jun 2020, saya mula perasan yang keadaan jalannya tidak stabil.

"Apabila saya minta dia tunduk untuk lihat postur badannya, jelas kelihatan tulang belakang sebelah kanan badannya lebih tinggi berbanding sebelah kiri," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau kemudian membawa Nurul Hanim Fazwin ke hospital dan ujian X-ray dilakukan mendapati tulang belakang badannya bengkok 40 darjah.
Previous Post Next Post