Pemeriksaan suhu badan ke sekolah tidak diwajib - KPM

Putrajaya - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pemeriksaaan suhu badan sebelum masuk ke sekolah tidak diwajibkan.

Kementerian tersebut merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan Pertahanan pada 8 Februari 2022 berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa mulai 11 Februari 2022.

"Sehubungan dengan itu, KPM memaklumkan bahawa mulai 11 Februari 2022, pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan bawah KPM adalah tidak diwajibkan. Namun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa/penjaga dimohon untuk memastikan anak/anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah. 

"Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif COVID-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah," jelas kementerian tersebut.

Menurutnya, tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isoloasi untuk tindakan selanjutnya.

KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan kementerian.

Previous Post Next Post