Kebenaran guru antivaksin mengajar bersemuka kurangkan beban rakan sekerja - NUTP

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Kebenaran kepada guru tidak divaksinasi kembali mengajar secara bersemuka di kelas dan berada di bilik guru disambut baik sekali gus membantu mengurangkan beban tugas tambahan digalas guru lain. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pihaknya menyokong penuh keputusan itu dan ia tidak perlu lagi dijadikan isu kerana negara juga dalam fasa peralihan ke endemik. 

"NUTP menyambut baik keputusan ini, kita dapati sekarang ini beban tugas guru tidak divaksin ini terpaksa ditanggung oleh guru lain yang lengkap vaksin menggantikan mereka. Ini tidak adil kepada mereka yang patuh peraturan. 

"Jadi langkah membenarkan guru tak ambil vaksin untuk hadir ke sekolah, mengajar dan berada di bilik guru bukan lagi satu isu atau masalah, sebaliknya ianya akan diterima baik guru lain dan pihak berkaitan," katanya kepada BH, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas senarai baharu kelonggaran pengoperasian sekolah berkuat kuasa 1 Mei diumum Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin semalam selaras pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan. 

Antaranya penjarakan fizikal dalam kelas dimansuh, makan di kantin dan kafeteria dibenarkan serta kebenaran kepada guru tidak divaksinasi mengajar secara bersemuka di kelas dan berada di bilik guru. 

Aminuddin berkata, pengalaman selama dua tahun menghadapi pandemik juga pastinya memberi pengajaran dan pengetahuan kepada semua pihak langkah-langkah dan SOP yang peru dipatuhi. 

"Kemahiran untuk mengawal diri, mematuhi SOP mengelak jangkitan rasanya semua pihak sudah faham sebab sudah dua tahun melaluinya, semua sudah ada pengetahuan jadi bagi kami tidak ada isu untuk guru ini kembali mengajar," katanya. 

Selain itu katanya, pemansuhan penjarakan fizikal juga mampu membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. 

"Pihak sekolah juga dapat melaksanakan aktiviti ko-kurikulum sekali gus mampu mencapai objektif pelaksanaan memberi manfaat kepada pelajar. Apa yang diumum kementerian hampir keseluruhannya adalah harapan guru dan sekolah," katanya.

 

Previous Post Next Post