Hukum murid rambut panjang buat kerja amal sebagai langkah mendidik - PIBGN


Pendekatan guru sekolah yang menggunting rambut pelajar sebagai hukuman melanggar peratur an disiplin ditetapkan wajar diubah kepada hukuman dalam bentuk kerja-kerja amal di sekolah. 

Presiden 'Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, denda dengan cara tersebut adalah langkah lebih baik sebagai memberi peringatan dan mendidik pelajar.

Bagaimanapun beliau berkata, pada masa sama ibu bapa juga perlu memberi kerjasama memastikan anak-anak mematuhi peraturan disiplin ditetapkan kerana disiplin tidak sepatutnya hanya di sekolah.

"Secara peribadi seperti dialami semasa persekolahan dahulu, saya menyokong kuat sekolah memeriksa secara berkala - atau mengejut kuku, rambut panjang atau tidak terurus, sekadar contoh mendisiplinkan kendiri pelajar.

"Bagaimanapun, pada saya ada eloknya guru beri perhatian lebih untuk mendidik sepenuhnya dan tidak memotong sendiri rambut atau kuku pelajar yang tidak patuh disiplin.

"Rasanya ada baik dikumpulkan pelajar-pelajar yang degil itu, atur tukang gunting untuk menggunting rambut mereka dan bawa kepada perhatian saksi, ibu bapa dan penjaga pelajar tersebut bersama serta kos dibiayai oleh ibu bapa atau penjaga berkenaan.

"Mungkin juga boleh denda membuat kerjakerja amal di sekolah seperti mengemas surau, mencuci tandas, cabut rumput liar padang sekolah, azan sebelum solat berjemaah, mencuci telekung surau atau membersihkan sekitar bilik darjah dan lain-lain yang munasabah dan tidak terlalu berat tapi berbentuk kerja-kerja amal seperti yang pernah saya lalui dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular membabitkan tindakan seorang guru yang menggunting rambut pelajar sebagai hukuman kerana rambut terlalu panjang.

Perkongsian video tersebut mendapat komen pengguna yang mempertikaikan tindakan tersebut dan mencadangkan supaya sekolah memanggil tukang gunting untuk menggunting rambut pelajar.

Cadangan tersebut bagaimanapun tidak dipersetujui oleh seorang guru yang juga aktivis sosial, Mohd Fadli Salleh kerana perkara tersebut telah termaktub dalam undang-undang sekolah dan pelajar sekolah termasuk ibu bapa perlu akur dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Justeru, tidak ada sebab untuk sekolah memanggil tukang gunting semata-mata untuk menggunting rambut pelajar.

Mengulas lanjut, Mohamad juga percaya ibu bapa atau penjaga sudah sedia maklum tentang peraturan kerapian rambut dan kuku telah termaktub dalam peraturan disiplin sekolah.

"Usahlah 'memaksa' guru pula membuat kerja-kerja mengunting rambut tetapi mengaturkan untuk keselesaan dan kepatuhan semua," katanya.

 

Previous Post Next Post