Perkasa kepakaran guru bina soalan ikut keperluan pelajar - Penganalisis

Imej hiasan

PENGUMUMAN pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) oleh Menteri Kanan Pendidikan sememangnya diduga ramai selepas ditangguhkan buat sementara waktu tahun lalu akibat pandemik COVID-19. Malah, rata-rata ibu bapa dan guru menyambut baik pemansuhan PT3 yang didapati sudah tidak sesuai lagi dengan amalan sistem pendidikan masa kini yang lebih mementingkan penaksiran berterusan.

Pada masa sama, keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) terus menambah baik sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) juga dilihat selari konsep penilaian pembelajaran holistik dan menyeluruh. Antara cadangan KPM dilihat memberikan nilai tambah kepada pelaksanaan PBD ialah usaha meningkatkan kemahiran guru dalam melaksanakan PBD mengikut keperluan masing-masing. Misalnya, guru akan diberikan latihan dan kemahiran melaksanakannya dalam kelas mempunyai bilangan murid ramai.

Satu-satunya hal menimbulkan perdebatan dalam kalangan guru dan ibu bapa hasil pengumuman pemansuhan PT3 itu ialah pengenalan bank soalan oleh KPM. Di bawah sistem ini, kementerian menyediakan sendiri soalan peperiksaan akhir tahun bagi lima mata pelajaran bagi murid Tahun Empat hingga Enam di sekolah rendah, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala semua mata pelajaran untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga di sekolah menengah.

Antara alasan mengapa bank soalan disediakan adalah wujudnya aduan dalam kalangan ibu bapa mendakwa soalan peperiksaan disediakan guru mempunyai perbezaan antara sekolah.

Dikatakan ada sekolah menyediakan soalan mudah, sedangkan yang lain menyediakan soalan lebih sukar dijawab murid. Bagi menyelesaikan isu itu, KPM mengambil keputusan melakukan pembinaan soalan pada peringkat Pusat dan akan disimpan dalam sistem bank soalan.

Guru boleh mengakses sistem bank soalan ini dan memilih soalan difikirkan sesuai untuk murid mereka, malah guru sendiri boleh memilih tarikh peperiksaan akhir tahun ingin dilaksanakan pada peringkat sekolah, sekali gus dilihat ramai akan meringankan beban guru. Sebenarnya amalan bank soalan ini tidak berlaku di negara yang maju sistem pendidikan mereka. Secara prinsipnya, urusan dan amalan pentaksiran murid di bawah tanggungjawab dan menjadi tugas hakiki guru. Dalam melaksanakan pengajaran berkesan, tiga komponen perancangan pengajaran akan dilakukan sendiri setiap guru.

Pertama, setiap guru bertanggungjawab menguasai isi kandungan mata pelajaran. Guru mesti menguasai keseluruhan silibus berdasar opsyen latihan ikhtisas mereka. Menjadi tanggungjawab setiap guru menguasai topik pengajaran sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas.

Komponen kedua, menjadi tanggungjawab hakiki semua guru untuk memahami kepelbagaian keupayaan murid. Oleh itu, guru bertanggungjawab mengenal pasti, memahami dan memantau kepelbagaian keupayaan serta gaya belajar murid di bawah tanggungjawab mereka. Apabila guru memahami kepelbagaian murid, mereka akan dapat merancang aktiviti pembelajaran sesuai dan berkesan berdasarkan kepelbagaian berkenaan.

Komponen ketiga ialah tanggungjawab guru melaksanakan pentaksiran murid. Selepas menguasai isi kandungan pengajaran dan memahami kepelbagaian murid di dalam kelas, setiap guru perlu merancang serta melaksanakan pentaksiran pembelajaran mengikut keperluan dan keadaan murid masing-masing.

Sebab itulah dalam prinsip pentaksiran pendidikan, setiap soalan peperiksaan dibina untuk mengukur prestasi murid mesti mengambil kira keupayaan dan kesediaan murid.

Soalan peperiksaan hanya dianggap sah dan boleh dipercayai apabila soalan berkenaan boleh mengukur keupayaan sebenar murid. Apabila guru menggunakan soalan diambil daripada bank soalan, berkemungkinan soalan disediakan tidak setepat berbanding soalan dibina guru sendiri yang lebih memahami dan sudah mengambil kira kepelbagaian murid di bawah tanggungjawab mereka.

Mengambil kira perkembangan sistem pentaksiran di negara mempunyai sistem pendidikan lebih maju, amalan bank soalan ini dilihat satu langkah ke belakang. Sepatutnya kita memperkasakan kepakaran guru di setiap sekolah untuk membina soalan peperiksaan sesuai dengan keperluan murid masing-masing.

Adalah normal untuk wujud kepelbagaian bentuk dan tahap kesukaran soalan bagi setiap kumpulan murid. Apabila ada ibu bapa membandingkan soalan sekolah anaknya dengan soalan sekolah lain, dari sudut pendidikan, perbandingan itu adalah tidak sesuai.

Tujuan peperiksaan dalaman peringkat sekolah adalah untuk menilai tahap kemajuan murid dengan pencapaian diri sendiri dalam ujian sebelumnya. Tujuan peperiksaan peringkat sekolah tidak bertujuan membandingkan murid dengan murid sekolah lain. Apalagi dengan sekolah di kawasan lain mempunyai perbezaan ketara. Misalnya, soalan sekolah pedalaman dibandingkan dengan sekolah berasrama penuh (SBP).

Masyarakat khususnya ibu bapa harus memahami wujud tiga bentuk penilaian dalam pendidikan diamalkan semua negara di dunia. Pertama, ujian diagnostik, iaitu ujian dilaksanakan sebelum sesuatu pembelajaran bermula. Misalnya ujian kemasukan Tahun Satu untuk mengukur tahap keupayaan membaca dan menulis.

Kedua, peperiksaan untuk mengukur kemajuan murid dilaksanakan secara bersiri seperti setiap penggal, semester, sesi atau tahunan. Tujuan penilaian atau peperiksaan bersifat kemajuan ini adalah untuk mengukur kemajuan prestasi murid dalam pembelajaran mereka.

Namun, peperiksaan untuk mengukur kemajuan seseorang murid ini tidak boleh digunakan untuk membandingkan prestasi beliau dengan murid lain. Apatah lagi dengan murid sekolah lain.

Ketiga, peperiksaan bersifat pemilihan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau peperiksaan kemasukan ke asrama penuh. Tujuannya adalah menentukan siapakah murid mempunyai prestasi tinggi berbanding rakan lain. Matlamatnya adalah untuk tujuan isihan berdasar prestasi murid berbanding yang lain. Sebab itu di kebanyakan negara maju, peperiksaan pemilihan ini hanya dilaksanakan sekali sahaja dalam sistem pendidikan mereka, iaitu pada akhir tahun alam persekolahan. Sememangnya pemansuhan PT3 bermaksud kita sudah memansuhkan satu bentuk peperiksaan pemilihan tahap Tingkatan Tiga. Itu sesuatu yang baik.

Namun, kita juga akan mula memperkenalkan lebih banyak peperiksaan bersifat kemajuan dalam sistem pendidikan negara kita. Sesuatu baik, tetapi perlu diuruskan dengan berhati-hati agar peperiksaan bersifat kemajuan ini tidak mengambil semangat daripada amalan dan tujuan peperiksaan bersifat pemilihan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Previous Post Next Post