Kejadian berlaku ketika arwah pulang dari program gotong-royong sekolah


BALING: Tragedi kereta dipercayai terbabas lalu terjunam ke sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, sehingga mengorbankan tiga beranak, semalam, dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program gotong-royong di sekolah mereka. 

Mangsa, Masyitoh Ibrahim, 37, adalah guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong, manakala dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, serta Muhammad Ziyad Haziq, 5, yang turut maut merupakan murid Tahun Satu dan prasekolah di sekolah sama. 

Adik Masyitoh, Mohd Asyraf Ibrahim, 34, berkata dua beradik itu mengikut ibu mereka ke program gotong-royong di SK Kampung Selarong pada hari kejadian. 

"Bagaimanapun abang sulung mereka, Muhammad Ziyad Hadif, 10, tidak ikut sekali," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, awal pagi tadi. 

Beliau memaklumkan sebelum ini, arwah kakaknya menetap di Pekan Kuala Ketil dan baru berpindah ke Sungai Petani. 

"Saya terkejut mendengar berita yang menimpa mereka, selepas dimaklumkan oleh salah seorang abang. Saya terus bergegas ke sini dengan harapan ketiga-tiganya dapat ditemukan selamat, namun reda apabila mereka disahkan meninggal dunia. 

"Arwah adalah seorang kakak yang ceria dan sangat baik. Dua anaknya itu juga anak yang baik dan sangat rapat dengan ibu mereka, nak ke mana-mana pun mereka mesti bersama," katanya. 




Mohd Asyraf berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan Masyitoh ialah pada sambutan Aidilfitri lalu dan hubungan mereka seperti biasa. 

Beliau berkata, jenazah tiga beranak itu dijangka dikebumikan di kampung halaman mereka di Bukit Pinang, Alor Setar. 

Rakan mangsa yang enggan dikenali pula berkata, beliau nampak perubahan sikap arwah bersama dua anaknya ketika program gotong-royong di sekolah, semalam, 

Beliau berkata, Masyitoh adalah seorang yang baik dan ceria, namun tiga beranak itu banyak mendiamkan diri ketika program berkenaan. 

"Saya masih terbayang wajah dua anak arwah bermain di depan mata saya. Saya terkejut apabila dimaklumkan berita kereta dinaiki mereka terjunam ke sungai sebagaimana tular dalam media sosial," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Katanya, beliau difahamkan bahawa Masyitoh dalam proses berpisah dengan suami, dan dua daripada tiga anak menetap bersama arwah, manakala anak sulung tinggal bersama bapa. 

Sementara itu bapa kanak-kanak terbabit, Sharudin Aziz, 51, gagal menahan sebak sebaik saja melihat mayat dua anaknya dibawa ke kenderaan polis. 

Sharudin berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 7 malam selepas rakannya memberitahu perasan akan nombor pendaftaran kereta berkenaan. 

"Saya bergegas ke sini untuk melihat apa yang berlaku kerana ada saksi nampak kereta itu hanyut dan tenggelam dalam sungai," katanya.

 

Post a Comment

0 Comments