Perbetulkan naratif PdP mata pelajaran Sejarah di sekolah

Imej hiasan

Kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mencatat kutipan lebih RM23 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan tentu janggal sekiranya digandingkan dengan laporan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai kira-kira 10 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 gagal dalam mata pelajaran Sejarah. Laporan itu mencatatkan daripada 407,097 calon SPM, 11.91 peratus gagal mendapatkan sijil kerana gagal mata pelajaran wajib termasuk Sejarah.

Keadaan ini sungguh membimbangkankerana ia dapat dimanifestasikan kepada kecenderungan kira-kira 11.91 peratus calon SPM untuk gagal dan tidak menyukai mata pelajaran Sejarah.

Sememangnya KPM perlu terus tegas mempertahankan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam SPM kerana kegagalan golongan belia sekurang-ku rangnya memahami sejarah (melalui mata pelajaran diajar di sekolah) bakal menyebabkan penghakisan semangat patriotik dan perpaduan.

Bagaimanapun, jumlah peratusan gagal itu dijadikan alasan kepada sesetengah pihak untuk mendakwa mata pelajaran berkenaan membosankan.

Melihatkan kejayaan tayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan pula, alasan golongan muda tidak sukakan sejarah tentu tidak selari dengan sambutan dan kehadiran mereka dengan busana tradisional untuk menontonnya tentu boleh dijadikan petunjuk kecenderungan sebenar terhadap jati diri bangsa.

Oleh itu, kegagalan 11.91 peratus calon SPM 2021 dalam mata pelajaran Sejarah itu boleh ditafsirkan sebagai kegagalan membangkitkan keghairahan golongan belia untuk mempelajari subjek itu secara akademik, tetapi minat dan kecenderungan sebenar terhadap sejarah dan jati diri di luar konteks aka. demik adalah sangat tinggi.

Justeru memandangkan KPM dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan intervensi bagi mengurangkan kegagalan calon SPM dalam mata pelajaran Sejarah, dicadangkan tumpuan diberikan kepada membangunkan pendekatan pengajaran kepada guru supaya penyampaian dan pengajaran mampu menarik minat pelajar.

Mata pelajaran Sejarah tidak boleh lagi menjadi pembelajaran mengingati tarikh penting, sebaliknya menonjolkan sifat keperwiraan direkodkan tokoh terkandung dalam lipatan sejarah.

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka umpamanya diingati dari sudut tarikh dan kejayaan Portugis menawan Kota Melaka, namun wira bermati-matian mempertahankan kota berkenaan tidak pernah diketahui dalam buku teks Sejarah.

Oleh itu, naratif pengajaran dan pembelajaran (PP) Sejarah perlu diperbetulkan kerana perlu diakui terdapat kelemahan cara terkini mata pelajaran itu yang boleh diperbaiki.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sendiri bersedia bersama-sama KPM untuk menyumbang tenaga dan idea memperbaiki kelemahan berkenaan. Ini kerana mata pelajaran Sejarah perlu diperkasakan bagi memastikan masa depan Malaysia sebagai negara pada masa hadapan terus lestari dan berdaulat.

Mohd Fauzi Fadzil
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan
Majlis Belia Malaysia

Previous Post Next Post