Mayat Murid Tahun 6 ditemukan di dasar sungai

Abdul Rafiuddin Abdul Rashid - Utusan Malaysia

DUNGUN: Keriangan empat sahabat bermain di Sungai Dungun dekat Kampung Rajawali di sini, petang semalam berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya lemas.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan mayat murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid di sini ditemukan di dasar sungai itu pada kedalaman 2.5 meter pada pukul 2.30 pagi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 11 Azman Alias berkata, mangsa dilaporkan mandi bersama empat rakannya di sungai tersebut pada pukul 6 petang semalam.

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus sungai tersebut.

"Keadaan air sungai yang sedikit surut awal pagi tadi memudahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian itu, mangsa mandi di sungai tersebut bersama empat rakan sekelasnya iaitu Muhammad Qhalish Iman Hazimi, Muhammad Aqil Shafie, Wan Adip Hakimi Wan Ahmad dan Raja Muhammad Anas Raja Ibrahim.

Akhbar tersebut difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan rakan-rakannya bermain dan berjalan ke beting pasir yang timbul ekoran air surut pada jarak kira-kira 30 meter dari darat.

Bagaimanapun, keadaan air sungai yang pasang dengan cepat menyebabkan mangsa dan seorang lagi rakannya, Muhammad Ohalish Iman gagal untuk berenang ke darat.

Bagaimanapun, Muhammad Qhalish Iman berjaya diselamatkan selepas berpaut pada pelampung yang dibaling rakannya, namun mangsa terus dihanyutkan arus sungai.

Previous Post Next Post