KUALA LUMPUR: Masa mencukupi akan diberi kepada semua pihak menyemak dan menambah baik Sistem Pengurusan IDentiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata walaupun berlaku gangguan capaian dan isu teknikal membabitkan sistem berkenaan, pihaknya tidak bercadang menghentikan atau memansuhkannya.
"Kementerian Pendidikan (KPM) komited menambah baik sistem berkenan kerana masih ada kepentingan untuk mengurangkan beban guru," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada KPM akan menghentikan sistem idMe kerana tidak mengurangkan beban guru.
Terdahulu, Fadhlina memaklumkan KPM menyedari berlaku gangguan capaian terhadap sistem idMe dan MOEIS pada 19 Januari lalu.
Bagaimanapun, katanya isu teknikal dan isu penggunaan sistem dapat diselesaikan pada 11 Februari.
"Prestasi sistem terus dipantau untuk memastikan ia sentiasa beroperasi dengan baik bagi meminimumkan gangguan capaian.
"Sehingga hari ini, sebanyak 89 peratus sekolah di seluruh negara sudah selesai memasukkan data dalam sistem pengurusan MOEIS melalui idMe, manakala bakinya mempunyai pilihan untuk memasuki data sama ada melalui sistem pengurusan atau luar talian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai sama ada KPM akan melakukan teknikal audit ke atas kedua-dua sistem berkenaan.