Kurang minat STEM, universiti mungkin alami kekurangan pelajar aliran sains selepas ini


KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) dikhuatiri menghadapi masalah mendapatkan pelajar mengikuti fakulti tertentu berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) pada masa depan susulan kekurangan pelajar aliran sains tulen di sekolah pada masa ini.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata antara fakulti dikhuatiri kekurangan pelajar terbabit ialah sains, perubatan, kejuruteraan, farmasi dan ekonomi.

Beliau berkata, kekurangan pelajar aliran sains tulen di sekolah itu boleh menjejaskan usaha melahirkan lebih ramai golongan profesional di negara ini.

"Atas sebab itu, usaha meneruskan dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar aliran sains di sekolah perlu diteruskan. Jadi, setiap sekolah menengah mesti mempunyai strategi, program dan aktiviti ke arah itu.

"Mereka perlu pastikan bilangan pelajar aliran itu meningkat setiap tahun di sekolah. Selain itu, hubungan lebih erat perlu dijalinkan antara pihak sekolah dengan kolej dan universiti.

"Pensyarah boleh mengadakan aktiviti dengan pelajar di sekolah terutama dalam memberikan motivasi dan galakan, selain mewujudkan jalinan sebagai sekolah angkat seperti mengadakan lawatan ke kampus dan fakulti berkenaan," katanya kepada BH, di sini.

Semalam, BH melaporkan negara dibimbangi kehilangan tenaga kerja profesional seperti doktor dan saintis disebabkan semakin ramai pelajar di peringkat sekolah menengah tidak lagi berminat melanjutkan pelajaran dalam sains tulen.

Ini berdasarkan peratusan calon yang mengambil jurusan sains tulen dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikesan terus merosot di bawah 15.2 peratus.

Pada masa sama, Alimuddin berkata, dalam meningkatkan minat pelajar terhadap subjek STEM, guru Sains dan Matematik perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka.

Beliau berkata, peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya dalam memberi galakan dan dorongan kepada anak masing-masing.

"Banyakkan bahan bacaan tambahan di rumah dan sering mengikuti perkembangan pelajaran serta kerap menghubungi guru supaya anak mereka berminat mengikuti aliran STEM," katanya.

Previous Post Next Post