Tak minat subjek STEM, negara akan hilang saintis Melayu dalam tempoh 15 tahun lagi

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi


KUALA LUMPUR: Negara dijangka 'kehilangan' saintis dan pakar teknologi Melayu dalam tempoh sekurang-kurangnya 15 tahun lagi apabila 89 peratus pelajar Melayu dikesan tidak berminat dalam subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi, berkata dapatan itu diperoleh melalui kajian pertubuhan itu di lapangan membabitkan 10,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara tahun lalu.

Beliau berkata, atas dasar itu, Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menampilkan segera program khas untuk menarik minat pelajar dalam STEM.

"Jika pelajar kehilangan minat dalam sains dan matematik, ia boleh menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam bidang berkaitan teknologi, kejuruteraan dan perubatan, sekali gus menghalang kemajuan negara dalam inovasi serta pembangunan teknologi.

"Jadi, usaha penting sekarang ialah membangkitkan semangat dan minat pelajar dalam subjek ini untuk memastikan kecekapan jangka panjang," katanya.

BH hari ini melaporkan negara dibimbangi kehilangan tenaga kerja profesional seperti doktor dan saintis disebabkan semakin ramai pelajar di peringkat sekolah menengah tidak lagi berminat melanjutkan pelajaran dalam sains tulen.

Ini berdasarkan peratusan calon mengambil jurusan sains tulen dalam SPM dikesan terus merosot di bawah 15.2 peratus.

Melalui kajian sama dilaksanakan GPMS, lebih 90 peratus responden menunjukkan minat positif untuk menyambung pelajaran dan 46.5 peratus menunjukkan minat positif terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pada masa sama, Fazreen berkata, program interaktif dan menyeronokkan boleh diadakan bagi menarik minat pelajar terhadap STEM termasuk pertandingan sains, eksperimen praktikal, lawatan ke pusat sains dan teknologi, serta pendedahan kepada aplikasi dunia nyata dari sains dan matematik.

Beliau berkata, selain itu, sekolah juga perlu menyediakan sokongan tambahan seperti kelas tambahan, tutor peribadi atau bimbingan kerjaya dalam bidang berkaitan juga dapat membantu membangkitkan minat mereka.

"Komuniti sains dan matematik juga perlu diberi perhatian serta mengangkat mereka di sekolah untuk menggalakkan pertukaran idea dan sokongan antara pelajar.

"Misalnya pelajar diminta mengkaji penyebab strok haba yang dekat dengan mereka daripada hanya tukar pakaian sukan saja untuk ke sekolah.

"Bagi penyelesaian jangka pendek, program yang menyeronokkan dan interaktif seperti pertandingan sains, kelas tambahan dan lawatan industri boleh dilaksanakan segera," katanya.

Fazreen berkata, untuk penyelesaian jangka panjang, perlu diadakan integrasi kurikulum yang lebih menarik dan relevan dengan aplikasi dunia nyata sains dan matematik, peningkatan latihan guru, serta peluang pembelajaran luar bilik darjah.

Katanya, KPM disaran melihat pendidikan merentasi ruang lingkup ideologi politik demi kepentingan anak bangsa.

"KPM perlu membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti GPMS dan Persatuan STEM Kebangsaan serta pakar daripada sektor swasta atau akademik untuk mencari langkah terbaik meningkatkan minat pelajar dalam sains dan matematik.

"GPMS antara persatuan pelajar yang hingga kini masih tiada ruang untuk bertemu menteri KPM," katanya.

Previous Post Next Post