Dalami peraturan agar tak terjebak salah laku - NUTP



PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyeru guru mendalami peraturan agar tidak terjebak salah laku, susulan kejadian beberapa guru didakwa memalukan seorang murid.

Setiausaha Agung Fouzi Singon berkata, peraturan yang sedang berkuat kuasa perlu difahami bagi mengelak pelanggaran norma sebagai guru.

“Guru harus tahu peraturan dan etika selaku tenaga pengajar manakala murid harus diutamakan dan dididik dengan sebaik mungkin,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan dilapor sedang menyiasat kejadian beberapa guru didakwa memalukan seorang murid sekolah rendah di hadapan rakan sehingga memberi kesan emosi terhadap kanak-kanak berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan kejadian itu sebagai ‘amat dikesali’.

Perkembangan itu menyusuli penularan video kejadian di media sosial.

Seorang guru perempuan dari sebuah sekolah di Kajang nafi terlibat dalam kejadian itu, menerusi laporan polis dibuat semalam.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka, Mak Chee Kin, menyifatkan kejadian iru kelihatan seperti buli, dan tidak masuk akal.

“Bukankah apa pun kesalahan pelajar sudah ada tatacara operasi standard KPM? Ikut sahaja, bukan menyindir dan menyerang seorang murid di depan pelajar lain,” katanya.

Katanya, masalah pelajar yang tidak boleh diselesaikan oleh guru, kaunselor, jabatan hal ehwal pelajar, mahupun guru besar boleh dirujuk kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Ramai yang boleh bantu,” katanya.

 

Previous Post Next Post