Beban tugas bukan faktor utama guru bersara awal - KPM



Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu jawapan bertulis kepada Yang Berhormat (YB) Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menafikan faktor beban tugas menjadi sebab utama guru-guru bersara awal daripada perkhidmatan.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga kini KPM telah menerima sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan daripada guru," katanya.

Berdasarkan rekod KPM, permohonan persaraan pilihan ini adalah disebabkan beberapa alasan.

"Sebanyak 3,044 permohonan mengemukakan alasan tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan sebagai guru, 765 permohonan mengemukakan alasan faktor keluarga, 411 permohonan mengemukakan alasan disebabkan masalah kesihatan, 83 permohonan mengemukakan alasan faktor beban tugas dan 56 permohonan dengan alasan atas sebab peribadi.

"Rekod ini adalah berdasarkan kepada borang permohonan yang dipanjangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelulusan," jelasnya di dalam jawapan bertulis.

KPM menyimpulkan di sini, peratusan guru yang bersara pilihan disebabkan beban tugas adalah sangat rendah.

"KPM prihatin dengan situasi semasa di mana guru berdepan dengan cabaran yang boleh menyebabkan emosi dan psikologi terganggu.

"Bagi memastikan guru terus bermotivasi, KPM telah menyediakan sokongan sosiaemosi kepada guru melalui khidmat kepakaran sesi kaunseling dan sokongan psikologi," katanya lagi.

KPM berkata, perkhidmatan tersebut diberikan oleh Kaunselorr Pendidikan yang profesional di Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabata Pendidikan Daerah (PPD), Institut Pendidikan Guru Kampus dan Kolej Matrikulasi.

"Perkhidmatan ini dijalankan secara bersemuka dan secara dalam talian semasa tempoh PKP dikuatkuasakan.

"Guru juga boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling melalui sistem e-2PK yang boleh diakses secara kendiri," katanya.

Menurut KPM lagi, guru turut diberikan latihan mempertingkat kesejahteraan psikologi melalui program pembangunan dan pemulihan. Antara program yang dijalankan adalah program #3A (Aware, Alert, Action! Sedar, Peka, Tindak) dengan kaedah dalam talian, webinar dan e-buku.

"Pada masa yang sama, KPM memberikan intervensi khusus kepada guru yang menunjukkan tahap prestasi sederhana.

"Intervensi yang diberikan dapat membantu guru dalam menangani tekanan yang boleh memberi kesan kepada prestasi kerja," jelasnya.

KPM berkata, mulai Januari sehingga 9 November 2021, Institut Pendidikan Guru Malaysia telah melaksanakan sebanyak 62 kursus berkaitan kesihatan emosi yang positif dan melibatkan seramai 133,515 orang guru.

Antara contoh kursus yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
i. You can be happy
ii. Teladan baik dalam organisasi
iii. Kekasl cergas dalam norma baharu
iv. Mencapai kesejahteraan hidup
v. Hargai kebahagiaan, tempuhi cabaran
vi. Konflik dan Solusi
vii. Disiplin positif, hidup bahagia
viii. Health is wealth
ix. Menangani stress dan kaedah untuk memotivasikan diri
x. Work smart not work hard

Sebelum itu, mantan Menteri Pendidikan itu mengemukakan soalan di dalam Parlimen pada 9 November yang lalu berkenaan jumlah guru yang memohon persaraan awal dan sebab ianya berlaku. Menurut beliau, di laman media sosial kini ramai guru yang mengadu burn out dengan beban tugas dan beliau mahu tahu apakah tindakan KPM untuk mengatasi masalah tersebut.
Previous Post Next Post