Perkemas peraturan tangani buli di sekolah elak guru dipersalah - KGMMB

Imej hiasan

Baru-baru ini Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan dengan melantik lapan anggota menyertai jawatankuasa itu. Jawatankuasa dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim ini antara pendekatan KPM untuk mendapatkan solusi terbaik menangani kes buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan di bawah KPM.

Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap keputusan diambil KPM demi mewujudkan iklim sekolah yang selamat dan harmoni.

Namun, jawatankuasa ini wajar disertai pemegang taruh lain seperti kesatuan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak pengamal undang-undang demi memastikan segala tindakan akan dilaksanakan lebih efektif dan signifikan.

Presiden KGMMB
Memang tidak dapat disangkal gejala buli dan gangguan seksual semakin berleluasa dan menjadi-jadi, justeru ia perlu ditangani dengan sebaiknya supaya tidak memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi mangsa dalam jangka pendek atau panjang.

Individu menjadi mangsa buli dan gangguan seksual cenderung berasa tertekan, kesunyian dan cemas serta kemurungan. Keadaan ini menyebabkan mangsa tidak berminat ke sekolah dan me. nyebabkan prestasi pembelajaran merosot.

Lebih tragis lagi mereka juga mempunyai risiko tinggi untuk membunuh diri atau cuba membunuh diri semata-mata untuk lari daripada masalah. Impak ini harus diteliti jawatankuasa terbabit.

Sektor pendidikan atau jawatankuasa ini perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi pengamal undang-undang bagi mendapat khidmat nasihat jelas mengenai isu ini.

Dalam keadaan sekarang, guru diselubungi ke. bimbangan untuk melakukan tindakan sewajarnya terhadap pelajar terbabit perlakuan buli bagi mengelak terperangkap peraturan kementerian jika tersilap mengambil tindakan.

Justeru, peraturan sedia ada harus diperkemas dan diperjelaskan kepada semua pihak, termasuk ibu bapa dan penjaga supaya mereka faham dan tidak mudah mengambil tindakan perundangan terhadap guru, sekolah, pejabat pendidikan daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Peraturan dan undang-undang menangani isu disiplin pelajar juga perlu jelas dan tepat serta memberi perlindungan kepada guru, sekolah dan pihak mengambil tindakan.

Pada masa sama, pengetua dan guru besar juga perlu bertindak lebih telus, berani dan berintegriti untuk membuat laporan kepada pihak berwajib supaya isu ini dapat dibendung dan dikekang.

Semua peringkat pentadbiran dalam KPM perlu telus dan berani dengan tidak menyembunyikan isu buli, selain perlu sentiasa membuat laporan kepada PDRM bagi membendung dan mengelak ia berulang.

Kaunselor atau Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) perlu peka dan sensitif serta bertindak bijak mengenal pasti pelajar yang berpotensi melakukan perbuatan negatif ini.

Pangkalan data berkaitan profil pelajar cenderung terbabit dalam kes sebegini perlu diakses untuk diambil tindakan pembetulan dan pencegahan kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Selain itu, pelajar sekolah atau menara gading juga perlu terus diberi kesedaran perlakuan buli dan gangguan seksual.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) juga boleh membantu mengekang isu ini seperti membuat pelbagai program kesedaran kepada pelajar di institusi pendidikan dan mengajak mereka menangani masalah ini bersama.

Sementara itu, pelajar didapati bersalah dalam perlakuan buli boleh dihantar ke sekolah khas dalam tempoh tertentu sebagai kaedah pemulihan sikap sebelum dihantar semula ke sekolah aliran perdana meneruskan pendidikan.

Sebagai tambahan, ceramah agama, kerohanian dan moral perlu diberi kepada semua murid bagi menyedarkan pelajar keburukan membuli dan gangguan seksual dari sudut agama dan moral.
Previous Post Next Post