Apa itu Program Sekolah Amanah?

Sekolah Amanah adalah sekolah awam yang diurus secara bersama di antara pihak swasta dengan pemimpin sekolah kerajaan, di bawah kawal selia KPM. 

Sekolah Amanah akan diberi lebih kebebasan dalam membuat keputusan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar. 

Sekolah Amanah bermatlamat untuk membawa perubahan kepada prestasi sekolah tanpa mengira pencapaian semasa: daripada sederhana kepada baik, baik kepada lebih baik. 

Antara fungsi pelaksanaan Program Sekolah Amanah ialah:

• Melonjakkan prestasi sekolah 
• Meningkatkan keberkesanan pengurusan sekolah 
• Menambahbaik proses penyampaian pengajaran 
• Menghasilkan lebih ramai guru cemerlang yang serba boleh 
• Meningkatkan pembangunan modal insan 
• Memupuk pemimpin masa depan melalui kecemerlangan pendidikan yang holistik

Program Sekolah Amanah dimulakan oleh Kementerian Pendidikan bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dan swasta. 


Setakat ini, Yayasan AMIR merupakan satu-satunya penaja sulung Program Sekolah Amanah dan melantik LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd Services), sebuah penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan yang diasaskan di Malaysia. 

Kredit: Bubblynotes.com

Sekolah Amanah akan mempunyai lebih autonomi dalam membuat keputusan berkaitan kurikulum, kewangan dan sumber manusia bagi menggalak inovasi dan menjadi lebih responsive terhadap keperluan komuniti sekolah. 

Autonomi yang diberi merangkumi kebebasan memilih kandungan kurikulum, pengagihan peruntukan mengikut keperluan, penyediaan insentif berasaskan prestasi dan pemilihan guru dan kakitangan bukan guru.

Setiap Sekolah Amanah Yayasan AMIR dibantu sepasukan Rakan Pendidik yang berganding bahu dengan kakitangan sekolah untuk menambah baik amalan kepimpinan dan juga kemahiran pengajaran. 

Program itu dirangka dengan tumpuan mengubah peranan guru dalam bilik darjah dan mentakrif semula konsep kerja rumah dan aktiviti bilik darjah.

Sekolah Amanah dikehendaki mencapai prestasi yang telah ditetapkan dalam tempoh lima tahun.
 
Matlamat Strategik Yang Difokuskan 

SG1 -Membangunkan kepimpinan berkualiti tinggi 
SG2 -Menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran 
SG3 - Memaksimumkan potensi dan pencapaian murid 
SG4 - Memperkukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan lain.

Pada waktu ini terdapat 83 buah sekolah di bawah TSP 1.0 di 10 buah negeri di Malaysia termasuk Johor (18) sekolah, Sarawak (15 sekolah), Kuala Lumpur (6 sekolah), Selangor (14 sekolah), Perak (4 sekolah), Kelantan (5 sekolah), Negeri Sembilan (1 sekolah), Sabah (5 sekolah), Terengganu (12 sekolah) dan Pahang (3 sekolah).

Sumber KPM



Previous Post Next Post