Kehadiran PPD ‘cari salah’ sekolah tidak tepat

Imej hiasan

Amat tidak tepat untuk beranggapan kunjungan pegawai pendidikan daerah (PPD) ke sekolah hanya untuk mencari salah.

Tanggapan begini melahirkan stigma negatif.

Sebaliknya, kunjungan PPD umumnya untuk mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari jalan penyelesaian kepada setiap masalah dengan segera. Justeru, daripada mencari salah ia sebenarnya adalah tugas membimbing dan menunjuk ajar (coaching and mentoring).

Dalam transformasi PPD 2014, digariskan bahawa peranan PPD ialah pembimbing, manakala fungsinya pula menggerak, memantapkan mekanisme penerangan (instruksional) dan profesional. 

Peranan baharu PPD itu adalah satu inisiatif dalam anjakan keenam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. 

Intipatinya antara lain mengupayakan Jabatan Pendidikan Negara, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. 

Justeru, tanggapan kehadiran PPD untuk 'mencari salah' tidak benar. 

Berdasarkan kehendak transformasi PPD 2014, tugas dan tanggungjawab PPD sebenarnya menuntut komitmen kerja yang tinggi, selain masa, tenaga dan buah fikiran.

Apabila PPD turun ke sekolah, pelbagai perkara berkaitan tugas dan tanggungjawab pengurusan sekolah akan diperhati dan diteliti. Gerak kerja pentadbiran sekolah dan tugas instruksional guru akan diperiksa. Tentu ada perkara yang perlu dibuat penambahbaikan. 

Oleh itu, PPD dan pegawai pengiring akan menjalankan sesi bimbingan dantunjuk ajar kepada warga sekolah bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanan kerja. 

PPD bantu pemimpin sekolah, puru Sebenarnya, banyak perkara difokuskan dalam pemantauan PPD. Hal ini selaras bidang pengurusan sekolah yang banyak. 

Pengetua dan guru besar perlu menguruskan pentadbiran pejabat, kewangan, kurikulum, hal ehwal murid, kokurikulum, pembangunan fizikal, kebersihan dan keindahan, keselamatan, hubungan luar serta sumber manusia.

Sudah pasti ada isu dan masalah berbangkit daripada kerja rutin pengetua dan guru besar kerana semua perkara perlu diuruskan dengan cepat, menyeluruh dan sempurna.

Ada ketikanya, kuasa dan kawalan kewangan mereka terhad seperti pembaikan kerosakan bangunan yang memerlukan peruntukan kewangan tambahan. Dalam hal sebegitu peranan dan bantuan PPD amat diperlukan.

Selain PPD, pegawai pelbagai unit, termasuk yang bertanggungjawab mengenai penambahbaikan juga akan kerap melawat sekolah secara berterusan dan berkala. Ia bertujuan membantu pemimpin sekolah dan guru khususnya dalam tugas instruksional atau pengajaran.

Pendek kata, tugas membimbing dan menunjuk ajar pentadbir dan guru oleh PPD berdasarkan keperluan akan menyelesaikan banyak masalah di sekolah. Menerusi gandingan itu, peranan sekolah sebagai pelaksana semua dasar pendidikan negara dapat direalisasikan dengan jayanya.

Zainal Abidin Osman, Pesara Kerajaan 

Previous Post Next Post