PdP Pendidikan Islam perlu ada transformasi untuk tarik minat murid - Pensyarah

Pendidikan Islam merupakan subjek yang penting bagi anak-anak Muslim di negara ini. Ia harus diberi keutamaan dan perhatian khusus oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan generasi muda yang dihasilkan mempunyai kualiti dan jati diri sebagai seorang Muslim terutama dalam aspek pemikiran dan amalan Islam yang benar. 

Bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, penumpuan perlu terarah kepada pembinaan awal kanak-kanak lagi. 

Maka, pengajaran dan pemudahcaraan (PDPC) Pendidikan Islam bagi pelajar sekolah rendah perlu menggunakan pendekatan pedagogi yang lebih praktikal bersesuaian dengan peredaran zaman. 

Penekanan PDPC yang mantap dan berkesan mampu menarik minat murid untuk mendalami dan menguasai Pendidikan Islam. 

PDPC perlu mengalami proses transformasi dan asimilasi teknologi terkini dalam memastikan ilmu yang disampaikan dapat diingati dan diamalkan dalam kehidupan seharian. 

Justeru, penggunaan alat bantu mengajar seperti telefon pintar boleh dimanfaatkan oleh guru dalam menghasilkan teknik penyampaian yang menarik dan mampu mengolah seni grafik menggunakan pelbagai aplikasi yang ada pada masa kini. 

Hal ini bertepatan dengan saranan Allah SWT kepada setiap Muslim untuk membuat persiapan sebaik mungkin sesuai dengan keadaan semasa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki.” (Surah al-Anfal, ayat 60) 

Justeru, sebagai pendidik yang berjuang dalam medan jihad untuk menyampaikan ilmu, perlu memastikan PDPC mempunyai impak berkesan terhadap pelajar. Memperbanyakkan bahan bantu mengajar serta membina kemampuan pelajar untuk menghasilkan kerja terbaik merupakan cabaran terbesar yang perlu digalas oleh seorang guru. 

Di samping menerapkan penggunaan teknologi dalam PDPC, guru Pendidikan Islam perlu sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang menyentuh amalan praktikal seperti solat dan akhlak pelajar di dalam kawasan sekolah. 

Amalan PDPC akan lebih berkesan jika dirancang dan dilaksanakan dengan serius oleh guru serta tidak jemu untuk membuat refleksi penambahbaikan terhadap pencapaian pelajar setiap kali PDPC dijalankan. 

Pendekatan kolaboratif dalam kalangan guru-guru Pendidikan Islam perlu kerap dilakukan secara aktif dan konstruktif dalam menyelesaikan pelbagai isu dalam PDPC. 

DR. ZURAIMY ALI | Akademi Pengajian Islam Kontemporari | UiTM Cawangan Perlis

Post a Comment

0 Comments