Ustaz bebas tuduhan 3 serangan seksual

KULIM: Seorang mudir sebuah madrasah dibebaskan daripada tiga tuduhan serangan seksual selain dilepas tanpa dibebaskan bagi dua lagi tuduhan, selepas seorang mangsa mengakui membuat laporan palsu terhadapnya.


Anuar Che Ani, 36, mengaku tidak bersalah pada 18 November 2021 kerana serangan seksual terhadap lima pelajar berusia 11 hingga 14 tahun di sebuah madrasah di sini, antara April 2018 hingga Oktober 2021.


Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Anuar dibenarkan jaminan RM50,000.


Peguamnya RSN Rayer berkata, Anuar dilepas dan dibebaskan bagi tiga tuduhan pertama selepas seorang saksi mengakui dalam soal balas ketika perbicaraan bahawa laporan polis terhadap tertuduh adalah palsu.


Anuar turut dilepas tanpa dibebaskan bagi dua lagi kes terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mirza Mohamad atas permintaan pendakwaan, selepas dua saksi yang sepatutnya memberi keterangan hari ini gagal hadir.


Katanya, ketika perbicaraan, saksi pertama memberitahu mahkamah sewaktu soal balas bahawa beliau dan empat rakannya membuat tuduhan itu terhadap Anuar selepas ditangkap dengan bahan pornografi di madrasah itu.

Previous Post Next Post