MA63: Kuasa menentukan calon guru, sekolah daif perlu diberi kepada Sarawak

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak menghadapi cabaran dalam sektor pendidikan kerana perancangan melibatkan sektor itu dilaksanakan di Putrajaya khususnya isu pengambilan atau penempatan guru di Sarawak. 

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kebanyakan kekosongan itu diisi oleh calon yang tidak mahu bertugas di Sarawak kerana memikirkan kawasan pedalaman, menyebabkan tiada pegawai untuk berkhidmat di Bumi Kenyalang. 

“Dalam hal ini, dalam konteks kuasa pentadbiran dalam pendidikan (amat perlu) diberikan kepada kita (Sarawak) dan kita dapat menentukan agar jawatan kosong berkenaan dapat diisi dan calon dapat bertugas di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Yayasan Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi. 

Fadillah berkata isu penempatan guru selain isu sekolah daif, menjadi cabaran besar yang harus ditangani secara bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak. 

Katanya, sebab itu pendidikan menjadi cabaran besar bagi kerajaan Sarawak dan menjadikannya satu agenda penting dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

"Pemberian kuasa pentadbiran untuk sektor pendidikan merupakan focus utama Kerajaan Persekutuan melalui Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963," katanya. 

Fadillah berkata ini kerana kerajaan Sarawak melihat bidang pendidikan sebagai satu bidang keutamaan yang penting. 

Sebab itu katanya, Sarawak mewujudkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) untuk menjadi perantara dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu pendidikan di Sarawak. 

Seramai 110 pelajar Sarawak di bawah Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak turut menghadiri majlis tersebut. 

Dalam pada itu, Yayasan Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan KPM dan MLNG Petronas untuk memperkasakan lagi program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak ini. 

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli. Foto UKAS
Previous Post Next Post