Kesal dengan karenah PPD, PIBG ambil inisiatif beli 50 kipas untuk kelas

Sebilangan daripada 50 kipas yang dibeli PIBG untuk mengatasi masalah bilik darjah panas - FMT

PETALING JAYA: ‘Rimas’ dengan kerenah birokrasi pejabat pendidikan daerah (PPD), sekumpulan ibu bapa pelajar di Lembah Klang menggunakan duit dana untuk membeli 50 buah kipas berdiri bagi ‘mengubat’ keadaan kelas bersesak dan panas. 

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berkenaan membelanjakan lebih RM8000 untuk membeli kipas bagi kegunaan 20 kelas, kerana enggan ‘tunggu dan lihat’ respon PPD terhadap isu bilik darjah panas selepas pelbagai masalah berkaitan sekolah rendah itu tidak ditangani dengan baik. 

“Anak-anak balik sekolah mengadu bilik darjah panas. Kita nak anak-anak belajar dalam keadaan selesa. Bila kita buat tinjauan memang panas. Kipas atas (siling) sebenarnya anginnya terlalu kurang. Kalau (kita tambah) kipas berdiri, memang cantik pengudaraannya,” katanya kepada FMT. 

Jurucakap berkenaan tidak mahu nama beliau mahupun nama sekolah disiarkan kerana bimbang ia akan mengundang masalah daripada Kementerian Pelajaran atau pun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kerana keadaan sekolah itu dibocorkan kepada media. 

Bagaimanapun, beliau berkata PIBG sekolah kesal kerana PPD sekian lama berpeluk tubuh terhadap pelbagai masalah di sekolah itu, termasuk murid belajar dalam keadaan panas dan kesesakan. 

“Guru besar dan guru-guru mengucapkan terima kasih (kepada PIBG) sebab keadaan dalam kelas amat panas. Kita nak harapkan daripada kerajaan, faham-fahamlah, macam-macam karenah birokrasi. Jadi PIBG ambil inisiatif dan beri apa yang kita mampu,” katanya. 

Keadaan bilik darjah yang panas hanya satu daripada masalah yang dihadapi pentadbiran sekolah, menurut jurucakap PIBG itu. 

“Banyak masalah sebenarnya di sekolah contohnya tempat letak kereta guru tak cukup hinggakan guru-guru kena parkir luar kawasan sekolah. Keadaan sekolah yang cukup padat, satu kelas sampai 40 hingga 45 murid. 

“Tapi guru-guru tak boleh bersuara. (Jika) mereka bersuara, mereka pasti akan dicari (pihak PPD). Mereka terikat pada akujanji sebagai seorang penjawat awam. Kita faham. Itu sebab kita bersuara bagi pihak sekolah. PIBG ini bebas. 

“Kita tahu, saban tahun bajet untuk pendidikan sangat banyak dan ia antara yang terbesar. Kita hanya harap, apa yang boleh dimudahkan, mudahkan. Tak perlu susah-susahkan,” tegasnya. 

“Sekolah berkenaan dibina tahun 2000, namun struktur sekolah tidak pernah dinaik taraf atau menjalani penambahbaikan walau pun saban tahun, jumlah murid semakin bertambah,” kata jurucakap berkenaan. 

“Sejak 2000, tak ada perubahan. Tak ada orang dari PPD datang buat audit dari sekolah ke sekolah di Rawang ini. Patutnya mereka datang dan siasat apa keperluan sekolah. PPD boleh buat kertas kerja dan hantar kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor ke, untuk tambah bangunan atau apa sahaja. Tak kan guru besar yang kena pergi PPD untuk minta ini semua? 

“PPD main tolak murid ke sekolah ini, tanpa datang tengok, sekolah ini sudah padat atau tidak (bilangan pelajar). Kesian guru-guru mengajar anak murid yang ramai dalam satu kelas. Yang paling kesian anak-anak duduk dalam berhimpit dan panas ketika belajar,” keluh jurucakap itu lagi.
Previous Post Next Post