Kepala pecah, otak terburai

Pasir Gudang: Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Delima, Taman Kota Masai di sini, malam tadi. 

Memilukan apabila menurut sumber, beberapa ahli keluarga yang tiba ke tempat kejadian sebak melihat nasib malang menimpa mangsa dan seorang daripada mangsa juga ditemukan dengan kepalanya pecah dan otak terburai 

Kesemua mangsa dipercayai sahabat baik dan berasal dari kawasan berhampiran lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sekumpulan remaja lelaki itu berlaku pada 10.30 malam. 

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa menunggang atau membonceng motosikal masing-masing bersaing sesama sendiri sehingga bergesel dan berlaku kemalangan. 

"Akibat daripada insiden tersebut, tiga mangsa tercampak di atas jalan dan terlanggar batu di bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di bahu kanan jalan. 

"Kesemua mangsa yang meninggal dunia adalah remaja berusia 15 hingga 16 tahun manakala yang parah berusia 17 tahun. 

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi siaran media, hari ini.

 

Previous Post Next Post